25 Februari 2010

Lagi Mengenai Pekerja Asing Di Labuan

Petikan dari New Sabah Times, 25 Februari 2010


Tujuh pekerja asing salah guna pas kerja ditahan

24th February, 2010LABUAN: Jabatan Imigresen Labuan menahan tujuh pekerja asing warga Filipina yang bekerja di bahagian barisan hadapan tanpa pas kerja yang dibenarkan ditahan dalam satu gerakan operasi ‘Frontliner’ pada Sabtu dan Ahad lalu.
Pengarah Imigresen Labuan, Sarbini Hussin berkata, empat daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen, dua tidak mematuhi syarat pas kerja dan seorang didapati memiliki dokumen palsu.
“Kesemua mereka ditahan sementara untuk siasatan lanjut di balai polis Labuan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Menurut Sarbini lagi, operasi ‘Frontliner’ yang dilancarkan di seluruh negara bermula 15 Febuari lalu membabitkan 28 anggota pelbagai pangkat termasuk anggota penguatkuasa Imigresen diketuai oleh Ketua Penguatkuasa Imigresen Labuan, Hasni Yaacob.
Katanya, sebanyak 366 premis perniagaan termasuk gerai makan di sekitar bandar Labuan melibatkan seramai 2,166 pekerja diperiksa dalam operasi dua hari itu.
“Dalam pemeriksaan itu kita juga mendapati beberapa majikan dan pekerja asing melakukan beberapa kesalahan kecil yang turut diberi teguran dan amaran,” katanya.
Sarbini berkata, operasi itu akan terus dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan pekerja asing serta majikan yang mengaji pekerja asing sentiasa mematuhi peraturan imigresen yang telah ditetapkan.

24 Februari 2010

YB Datuk Yussof Mahal Dilantik Pengerusi BN

Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Yussof Mahal dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional. Beliau yang menerima lantikan dari Perdana Menteri selaku Pengerusi BN akan memegang jawatan tersebut sehingga 31 Mei 2011.

Yang Berhormat juga dikatakan mendapat sokongan penuh dari semua parti komponen Barisan Nasional di Labuan.

Semoga Yang Berhormat dapat memantapkan lagi kedudukan BN di Labuan sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Perkembangan Kes Mahkamah Dato Suhaili

Mahkamah tinggi pagi tadi memutuskan perbicaraan kes Dato Suhaili Abdul Rahman akan didengar di mahkamah pada 8 Mac ini. Hakim memutuskan sedemikian setelah pihak pendakwaraya yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan representasi yang diajukan kepada peguam negara ditolak. Peguam yang mewakili Dato Suhaili, Saudara Rakhbir Singh pula menyatakan bahawa beliau sudah bersedia untuk menghadapi perbicaraan sejak 10 Febriari lepas lagi.

Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 10 Februari lepas ditunda setelah pihak pendakwa memohon penangguhan. Mahkamah bagaimanapun memberikan tempoh sehingga hari ini kepada pihak pendakwa untuk memutuskan sama ada kes ini akan dibicarakan atau sebaliknya.

Menurut sumber yang diterima, Dato' Suhaili ditemani oleh beberapa ketua parti komponen BN dan rakan-rakan dari Kota Kinabalu ketika berada di mahkamah.

22 Februari 2010

Letupan Lewat Pagi di PML

Petikan dari Berita Harian Online Edisi Muktahir - 22 Februari 2010



Tiada kecederaan akibat letupan besar di loji Petronas Labuan


LABUAN: Satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML) hari ini, memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan.


Seramai 82 pekerja kontrak dan 46 petugas Petronas Methanol Labuan sedang bekerja di situ ketika letupan berlaku jam 11.37 pagi tadi, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.


Duah jentera bomba masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan unit bomba penyelamat PML dikerah mengawal kebakaran akibat letupan tersebut, dan berjaya mengawal keadaan 30 minit kemudian.


Bercakap kepada satu sidang akhbar, Ketua Produksi PML, Mohd Kamis Abdul Manap, berkata siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti punca letupan.


"Kita akan buat siasatan menyeluruh sebelum kerja-kerja dapat diteruskan di tapak loji ini.


"Ini adalah kejadian pertama berlaku di cerowong pembuangan gas asli terkawal ini. Kita akan mengenal pasti sama ada wujudnya kepincangan dalam aspek keselamatan," katanya.


Petronas Methanol Labuan memiliki loji methanol yang dibina pada 1984 dan mampu menghasilkan 60,000 methanol setahun.


Pelanggan terbesar PML adalah loji propilena Methyl Tertiary Butyl Ether (MTBE) di Kuantan, Pahang dengan keperluan tahunan sebanyak 110,000 tan.


Pasaran lain termasuklah Jepun, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Korea, Taiwan dan China.


Pada 2007, dua pekerja sub-kontrak Petronas parah terbakar dalam satu letupan ketika melaksanakan kerja pengimpalan di plant PML di Rancha-Rancha. - Bernama




Mengikut dari sumber yang saya terima, ianya cuma satu letupan kecil pada cerowong loji lama, PML tidak terjejas teruk seperti dilaporkan.

20 Februari 2010

Labuan Memerlukan Kumpulan Pemikir Untuk Maju Kedepan?

Petikan dari Bernama, 20 Februari 2010

Kumpulan pemikir rancang pembangunan Labuan



LABUAN: Satu kumpulan pemikir bagi Labuan sedang merancang wawasan jelas bagi hala tuju dan pembangunan masa depan pulau itu, kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal.

"Kami mesti benar-benar fokus untuk membangunkan pulau ini dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum bertepatan dengan konsep 1Malaysia. Kami mesti mendapatkan bijak pandai dan belia yang bagus untuk menyertai kami dan bekerjasama untuk membina pulau ini," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Yussof yang baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian Barisan Nasional (BN) Labuan sehingga 31 Mei 2011 oleh Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata kumpulan pemikir itu akan meneliti dengan serius aktiviti ekonomi yang mungkin sesuai untuk Labuan.


"Pemimpin yang bagus tahu mereka tidak boleh menghasilkan semua idea yang baik. Dengan membenarkan input mereka mampu membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab," katanya.

Biro aduan juga akan diwujudkan bagi memastikan lebih banyak penyertaan daripada orang ramai dalam pelbagai projek pembangunan masyarakat yang djalankan kerajaan.

"Bagi saya, ia bukan persoalan memberikan gula-gula, apa yang penting adalah untuk meneruskan polisi BN. Saya juga mendengar apa kata rakyat dan cari apa yang mereka mahu," katanya.

Yussof berkata, ada banyak isu yang perlu ditangani dengan segera seperti meningkatkan bantuan pendidikan dan membantu masyarakat miskin di pulau itu.

"Saya tidak mahu pendekatan secara ad-hoc untuk membetulkan keadaan di sana sini. Kami mesti mencari pendekatan yang lebih konkrit bagi membantu rakyat. Dengan kata lain, apa yang saya cuba jelaskan adalah kami mesti mencari penyelesaian muktamad kepada banyak isu seperti masalah air dan peningkatan harga barangan yang telah lama berlanjutan," katanya.

Yussof yang sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Marin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata apa yang paling penting bagi beliau adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Jika anda tidak melakukan perkara yang betul untuk rakyat atau berkhidmat kepada rakyat, akhirnya rakyat akan membuat penghakiman sendiri. Pemimpin yang bagus akan mendapatkan pandangan dan mengumpulkan idea sebelum membuat perancangan," katanya. - Bernama

10 Februari 2010

Kes Mahkamah Dato Suhaili - Pihak Pendakwa Mohon Tangguh

Perbicaraan kes mahkamah mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman pada pagi ini ditangguhkan atas permintaan pihak pendakwa yang mewakili Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM). Penangguhan tersebut dibuat kerana Dato Suhaili dikatakan telah mengajukan representasi kepada AG, dan AG memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.

Antara yang kelihatan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu termasuklah beberapa ketua kampung dari Labuan, sahabat-sahabat beliau dari Labuan, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, dan beberapa individu dari Labuan dan Kota Kinabalu yang telah disepina oleh mahkamah untuk hadir sebagai saksi pendakwaan.

Dato Suhaili dihadapkan ke mahkamah awal tahun lepas atas dua pertuduhan; membuat akuan bersumpah palsu dihadapan Jaksa Pendamai dan mencuba menipu pegawai bank untuk mendapatkan kemudahan pinjaman untuk satu syarikat sebagai penjamin dengan menggunakan identiti palsu.

09 Februari 2010

PAC Perlu Siasat 2 Projek Mega - DAP

Selepas mengumumkan akan bertanding di 12 kawasan Parlimen Sabah, termasuk Labuan, DAP sekali lagi 'melawat' Labuan. Kali ini Pengerusinya, Dr Hiew King Chew meminta agar Kira-kira Wang Negara (PAC) membuat pemeriksaan keatas dua projek mega di Labuan.

Dr Hiew juga berkata akan mengutarakan isu ini pada Persidangan Parlimen Mac ini.

Projek-projek yang dimiliki oleh Perbadanan Labuan itu adalah projek pasar besar Labuan dan projek membina terminal bas dan teksi. Kedua-dua projek tersebut dianggarkan bernilai lebih kurang RM30 juta.

Kedua-dua projek tersebut telah ditarik balik oleh Perbadanan Labuan awal tahun ini kerana tidak dapat disiapkan oleh kontraktor mengikut jadual. Isu projek pasar baru Labuan pernah menarik perhatian media massa dan bloggers apabila laporan polik dibuat mengenai pergaduhan kontraktor utama dan subkontraktor.

05 Februari 2010

Jabatan Pelajaran Labuan Diturunkan Status ke Pejabat Pelajaran?

Perkara ini bukannya baru, sudah 3-4 tahun lepas ianya diwar-warkan, namun kali ini agak panas sedikit kerana 'waran' sudah dikeluarkan untuk di implementasi.

Saya difahamkan Jabatan Pelajaran Labuan kini dalam usaha untuk merayu keputusan kementerian itu. Sebenarnya tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan joka jabatan bertukar status ke pejabat, cuma agak susah sedikit bila berurusan mengenai lantikan, mesyuarat ke Kuala Lumpur yang akan meningkatkan perbelanjaan dan urusan beberapa perkara penting yang perlu mendapat kelulusan Pengarah Pelajaran.

Selain Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga akan diturunkan status ke Pejabat Pelajaran.

03 Februari 2010

DAP Bakal Berentap DI Labuan Pada PRU-13?


Saya difahamkan parti pembangkang DAP malam tadi menjemput beberapa penggerak media di Labuan dalam satu majlis makan malam. Antara pemimpin yang hadir pada malam tadi termasuklah Pemimpin DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu, dan bekas calon bebas PRU-12, Lau Seng Kiat.

DAP dijangka akan melawat kedai-kedai sekitar bandar Labuan untuk beramah mesra dengan warga Labuan dalam usaha untuk mengembangkan sayap di Labuan. Perkembangan terkini ini mengundang kemungkinan yang DAP akan mengambil alih tugas PAS di Labuan untuk menentang BN dalam PRU-13 akan datang.

Ini bukan kali pertama DAP datang ke Labuan. Sebelum ini DAP Sabah jugah pernah menjemput wartawan ke Restoran Choice untuk membuat kenyataan media mengenai 'kehadiran' mereka di Labuan.

-error-

Banyak artikel-artikel yang saya tulis yang kemudiannya saya set untuk dipaparkan secara automatik pada sekian haribulan gagal, bukan saja gagal malah hilang dari folder. Saya beranggapan agak tidak relevan untuk artikel-artikel tersebut ditulis semula kerana kebanyakkannya sudah disiarkan dilaman blog lain, surat khabar maupun television.

Antara artikel-artikel yang telah saya tulis termasuklah lawatan Ketua Pemuda UMNO Pusat, YB Khairy Jamaluddin ke Labuan, Majlis Penerangan Puteri UMNO Labuan yang dihadiri oleh Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, rumusan laporan akhbar mengenai pembangunan di Labuan, dan Ucapan sempena Hari Wilayah.

Insya Allah selepas ini, saya akan cuba simpan artikel-artikel sebelum dipos dan jika berlaku kejadian seperti ini, sekurang-kurangnya saya ada back up.