08 Mei 2010

Jambatan Labuan - Jadi Atau Tidak?

Satu ketika dahulu, ketika lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke pulau ini menaikkan sedikit semangat warga Labuan apabila beliau berjanji akan memasukkan projek jambatan Labuan menghubungkan pulau ini ke tanah besar Sabah kedalam RMK-9 sebagai 'add-on project'.

Setelah didesak oleh pelbagai pihak, akhirnya Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik memberi 'jaminan' baru apabila mengumumkan jambatan Labuan akan dibina setelah kajian dibuat membuktikan ianya berdaya maju. UMS dilantik untuk menyiapkan kertas kajian tersebut.

Pada 4 Mei lepas, harapan warga Labuan akhirnya terkubur apabila Datuk Raja Nong Chik mengumumkan yang kerajaan ketika ini tidak melihat jambatan Labuan sebagai 'priority' memandangkan tiada daya saing dan ketiadaan peruntukan. Projek jambatan Labuan dianggarkan bernilai RM3 billion, dan akan bertambah sekali ganda bila ianya tidak dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Bagi pendapat saya, kalau kerajaan tidak melaksanakannya sekarang, kerajaan juga tidak akan berminat untuk melaksanakannya dikemudian hari.  Jika kerajaan tidak mampu untuk memperuntukkan RM3 billion untuk jambatan tersebut, apakah kerajaan akan mampu melaksanakannya apabila kos meningkat kepada RM6 bilion 5-10 tahun akan datang?