31 Ogos 2009

Sambutan Hari Merdeka Di Labuan Sederhana

Sambutan Hari Kemerdekaan di Labuan disambut secara sederhana sahaja. 43 Kontijen mengambil bahagian yang membabitkan kira-kira 1100 peserta dalan acara perbarisan. Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Yussof Mahal juga sempat menyampaikan perutusan beliau sempena sambutan Kemerdekaan ke-52 Malaysia.

Yang amat menyedihkan, hampir 95% daripada 1100 peserta terdiri daripada orang melayu dan bumiputera Sabah. Dimanakan warga Cina dan India dalam sambutan kali ini? Dimana peranan parti-parti komponen BN, MCA, Gerakan dan MIC yang mewakili bangsa Cina dan India dalam merapatkan jurang antara kaum, dalam usaha menyambut seruan Perdana Menteri, 1Malaysia?

LabuanKini juga berasa lega kerana sekolah-sekolah tidak membabitkan murid-murid mereka dalam acara perbarisan tahun ini, bagi mengelakkan penularan Influenza A H1N1, tambahan lagi sambutan dilakukan ketika umat Islam mengerjakan ibadat puasa. LabuanKini dimaklumkan ada 2 orang dilaporkan rebah atau pengsan ketika perbarisan diadakan, berkemungkinan keletihan kerana cuaca pagi tadi panas. Sungguhpun begitu, LabuanKini ingin mengucapkan syabas kepada mereka kerana sanggup berpanas demi untuk memartabatkan bangsa dan negara ketika sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 Tahun. Syabas sekali lagi.

Selamat Ulangtahun Labuan Kini!

Wajah awal Labuan Kini


Ditengah-tengah negara kita Malaysia menyambut hari kemerdekaan yang ke - 52, laman blog Labuan Kini juga menyambut ulangtahunnya yang pertama.

Labuan Kini mulanya diilhamkan pada pertengahan Ogos 2008, dan diterbitkan secara online pada 31 Ogos 2008. Diawal penerbitan, Labuan Kini pada mulanya dimiliki oleh individu lain, sebelum diambil alih oleh labuankini (editor sekarang) sekitar awal November 2008.

Dihari ulangtahun yang pertama ini, LabuanKini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca dan pengikut laman blog Labuan Kini, tanpa anda, tanpa komen-komen bernas, cadangan, ulasan dan sokongan anda, Labuan Kini tidak akan mampu bertahan sehingga sekarang.

Terima Kasih

Merdeka!


Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Selamat Ulangtahun Ke-52 Malaysia
&
Selamat Menyambut Hari Merdeka

Kepada Semua Warga Malaysia
Terutama Pemgunjung & Pemgikut Blog Labuan Kini

30 Ogos 2009

8 Ramadan - Labuan Masih Meriah

Baazar Ramadan yang terletak di belakang Hotel Grand Dorsett masih nampak meriah dengan ketibaan orang ramai. Tapak baazar yang pada mulanya menerima sedikit rungutan dari orang ramai kerana dikatakan tidak sesuai, tidak menjadi penghalang untuk orang ramai membeli juadah berbuka puasa.

Kunjungan LabuanKini ke baazar depan Hotel Pulau Labuan juga nampak meriah, walaupun penjaja yang ada di sana tidak seramai Baazar Ramadan.

Apa yang masih merisaukan, warga Labuan seakan-akan tidak prihatin atau tidak hirau akan pandemik Influenza A H1N1. Masih ramai yang tidak memakai topeng mulut dan ada yang membawa anak-anak kecil bersama ke baazar.

LabuanKini juga tidak setuju tempat-tempat seperti ini dihindari kerana wabak selsema babi, tapi sekurang-kurangnya pemakaian topeng mulut perlu diamalkan, untuk kesihatan diri.

p/s : LabuanKini cuba untuk upload gambar tapi masih tidak berjaya. Insya Allah, gambar akan menyusul kemudian.

22 Ogos 2009

Ucapan

Selamat Menyambut Ramadhan 1430H
dan
Selamat Mengerjakan Ibadah Puasa

Buat Semua Warga Labuan

18 Ogos 2009

Mesyuarat UMNO Bahagian Labuan - Tiada Yang 'Extraordinary'

LabuanKini mengucapkan syabas dan tahniah buat pasukan kerja UMNO Bahagian Labuan yang telah selesai mengadakan mesyuarat tahunan mereka di Dewan Masyarakat yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Ismail Sabri, Ahad lepas.

Tiada ada yang ganjil atau baru sekitar mesyuarat tersebut, walaupun Jawatan Ketua Bahagian Dato Suhaili digantung, 'jeneral-jeneral' kanan beliau masih dilihat kukuh memegang UMNO Bahagian. Ini dapat dilihat apabila cubaan En. Ali Bledram dan Hj. Yussof Mohamad untuk mendapat tempat dalam G7 gagal. Kehadiran YAB Menteri merasmikan mesyuarat kali ini juga dikatakan adalah atas jemputan Dato Suhaili sendiri.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada UMNO Bahagian Labuan, termasuk sayap-sayap parti; Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

YB Datuk Yussof Mahal Ditahan Di Hospital Swasta

Jumaat lepas, LabuanKini mendapat maklumat mengenai keadaan Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Yussof Mahal yang dikatakan tidak sihat dan ditahan di salah sebuah Hospital swasta di Kuala Lumpur.

LabuanKini tidak menulis mengenainya kerana khuatir ianya cuma khabar angin, namun setelah disahkan oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, barulah LabuanKini menulis mengenainya.

Pelbagai spekulasi mengenai status penyakit YB tersebar meluas, ada yang mengatakan demam denggi, tidak kurang pula yang mengatakan jangkitan Influenza A H1N1. Seorang kenalan LabuanKini menyatakan ada bertanyakan hal ini kepada anak YB dan mengatakan ketidaksihatan YB adalah berpunca dari stress yang berpanjangan, dan bukan denggi atau H1N1 seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

Apa-apapun LabuanKini mendoakan semoga YB cepat sembuh dan selamat.

15 Ogos 2009

Mesyuarat UMNO Bahagian Labuan


UMNO Bahagian Labuan dijadualkan akan mengadakan mesyuarat tahunan esok. Mesyuarat tersebut akan dirasmikan okeh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri. Sebelum itu, Wanita dan Puteri UMNO akan memulakan mesyuarat masing-masing pada sebelah pagi, dan akan dirasmikan oleh Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Yunus Kurus.

Pemuda UMNO Bahagian Labuan mengadakan mesyuarat tahunan mereka lebih awal, yang dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Nasional, Datuk Razali Ibrahim.

06 Ogos 2009

Jerebu - Tiada Tanda-Tanda Reda

Jerebu yang melanda Pulau Labuan sejak Ahad lepas masih tidak menampakkan sebarang tanda-tanda ianya akan reda dalam masa terdekat ini. Hujan pagi tadi juga tidak memberi sebarang kesan terhadap keadaan berjerebu di Labuan.

Walaupun bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) di Labuan masih ditahap sederhana (76 pada jam 11 pagi tadi), keadaan berjerebu ini berkemungkinan sedikit sebanyak akan membantu penularan pandemik Influenza A H1N1 di Labuan. Penutupan tiga buah sekolah di Labuan akibat jangkitan Influenza A H1N1 juga dibuat ketika Labuan dilanda jerebu.

04 Ogos 2009

H1N1 - Tiga Sekolah Ditutup Seminggu.

LabuanKini menerima maklumat yang tiga sekolah diarah ditutup selama seminggu, setelah beberapa pelajarnya dikhuatiri dijangkiti Influenza A H1N1.

Sekolah-sekolah yang diarah ditutup adalah SK Pantai, SK Pekan 2 dan Sekolah Menengah Sains Labuan. Sekolah-sekolah tersebut jikangka akan dibuka semula Rabu minggu depan.