30 Mei 2009

Kes Dato Suhaili Jadi Rujukan - UMNO Pusat

Petikan daripada Berita Harian Online, 30 Mei 2009

Gantung jawatan jika didakwa

Oleh Norfatimah Ahmad, Anwar Hussin dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, pemimpin Umno di semua peringkat yang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akan digantung semua jawatannya dalam parti.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata peraturan baru itu diputuskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam meneliti cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pengurusan parti.

“Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat Umno di sini.

Perdana Menteri juga mengumumkan persetujuan MT menambah ahli Lembaga Disiplin Umno, termasuk Panel Siasatan, Tribunal dan Panel Rayuan.

Antara ahli baru lembaga itu ialah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Said; peguam Datuk Zuraidah Atan; bekas Penolong Kanan Penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Wahab Wahid; pesara penguasa polis, Mohd Zain Ismail dan pesara inspektor polis, Nordin Saidin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi menjelaskan peraturan baru itu tidak hanya membabitkan pemimpin di peringkat Pusat, malah meliputi cawangan dan bahagian.

“Contohnya, Ketua Umno Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail, yang dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Selasa lalu, Abd Ghani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan menerima rasuah berjumlah lebih RM200,000 bagi meluluskan tender antara 2006 dan 2007. 

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, pula menjelaskan kes membabitkan Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membuat kenyataan palsu, adalah antara yang menjadi rujukan dalam pelaksanaan peraturan baru itu.

“Kita menggunakan prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah. Tidak adil jika parti memecat atau melucutkan jawatan seseorang pemimpin itu, tetapi mahkamah memutuskan dia tidak bersalah pula.

“Jadi peraturan ini dikuat kuasa untuk bertindak adil kepada mana-mana pemimpin dalam parti yang dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Bulan lalu, Ibu Pejabat Umno mengumumkan jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan yang disandang Suhaili gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa di mahkamah selaras Fasal 10.10 Perlembagaan Umno.

29 Mei 2009

Mesyuarat UMNO Cawangan-Cawangan, Bahagian Labuan.


UMNO Labuan akan mengadakan mesyuarat cawangan-cawangan mulai esok. Upacara perasmian mesyuarat cawangan akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Yunus Kurus, yang juga bertindak sebagai pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan, berikutan penggantungan sementara Ketua Bahagian UMNO Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman sehingga kes mahkamahnya selesai.

Pelbagai isu-isu hangat diperkatakan menjelang mesyuarat cawangan-cawangan kali ini, termasuklah isu undi tidak percaya terhadap Ketua Bahagian, perlantikan AJK ke Bahagian, dan laporan beberapa ketua-ketua kampung dan ketua-ketua cawangan mendakwa dihubungi oleh mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Mulok Awg. Damit, yang berkemungkinan hendak mencuba nasib untuk "memasuki semula" UMNO Labuan.

Sebarang perkembangan mengenai perjalan mesyuarat UMNO cawangan-cawangan Labuan akan dipos dari masa kesemasa.

24 Mei 2009

Pengerusi Perbadanan Labuan - Calon-Calon Labuan Kempunan, SUK Dilantik.

LabuanKini difahamkan calon untuk Pengerusi Perbadanan Labuan sudah dikenalpasti, dan kini tinggal menunggu untuk lantikan rasmi. Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Dato Ahmad Phesal Talib dijangka akan menerima lantikan beliau sebagai Pengerusi Perbadanan yang baru pada bila-bila masa.

Ini menolak beberapa andaian sebelum ini yang menjangkakan YB Datuk Yussof Mahal akan dilantik ke jawatan tersebut. Andaian mengatakan Dato Suhaili akan dilantik semula juga tersasar jauh.

Sebelum ini, dikatakan ada lima calon-calon warga Labuan diutarakan ke Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dipertimbangkan, namuk kelima-lima calon tersebut ternyata kempunan.

Kebakaran Di Kampung Muslim - Publisiti Lebih?

Kebakaran yang berlaku di penempatan UNHCR Kampung Muslim berlaku 8 hari yang lalu, namun 'kepanasan' masih belum reda. Sumbangan untuk mangsa-mangsa kebakaran masih disalurkan, baik dari kerajaan, NGO maupun individu.

Publisiti berlebihan yang diberikan mengundang beberapa kata-kata sumbang dari penduduk-penduduk tempatan. Mereka berpendapat kebakaran tersebut tidak perlu diberi publisiti yang meluas, kerana ianya tidak melibatkan penduduk tempatan, malah kebanyakkan mangsa kebakaran adalah penduduk asing yang memegang dokumen IMM13, dan selebihnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Keadaan menjadi lebih keruh apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik turun ke Labuan melawat mangsa-mangsa kebakaran, dan yang terbaru Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Sharizat Jalil turut turun ke Labuan melawat mangsa-mangsa kebakaran, kelmarin. Timbalan Perdana Menteri juga hampir-hampir 'terpedaya' turun ke Labuan kelmarin, namun membatalkannya disaat akhir setelah diberi maklumat mengenai status mangsa-mangsa kebakaran.

'Ketika Kampung Bebuloh ditimpa bencana, Kampung Batu Manikar banjir, tanah runtuh di Lubuk Temiang, tidak ada satu menteri pun turun melawat, bila perkampungan pendatang haram terbakar, dua menteri turun melawat memberi sumbangan. Ini seolah-olah mereka lebih penting dari penduduk tempatan, sedangkan kami pengundi berdaftar yang mengundi kerajaan, Setahu saya IMM13 tiada hak mengundi. Kenapa seperti ada 'double standard'?' - antara beberapa ulasan yang LabuanKini terima.

15 Mei 2009

Perutusan




Labuan Kini
Ingin Mengucapkan

Selamat Hari Belia Negara
Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan

Kepada Semua Warga Belia Labuan

14 Mei 2009

Kebakaran Di Kampung Muslim





Satu kebakaran besar berlaku di Kampung Muslim lewat pagi tadi. Kejadian menyaksikan hampir keseluruhan rumah di kawasan berkenaan musnah dalam kebakaran, termasuk kantin dan surau.

Usaha untuk memadamkan dan mengawal kebakaran oleh Jabatan Bomba, Bomba Sukarela, dan Rela agak sukar akibat cuaca kering dan berangin. Tekanan air juga dikatakan amat rendah sehingga memaksa Jabatan Bekalan Air Labuan menghantar bantuan bekalan air, sebagai usaha untuk mengawal kebakaran.

Kejadian yang berlaku berdekatan dengan Bengkel Jabatan Kerja Raya itu mengundang orang ramai menyaksikan kejadian tersebut dengan lebih dekat. Kunjungan LabuanKini di kawasan berdekatan menyaksikan suasana agak terkawal, tanpa sebarang gangguan, panik, walaupun keadaan lalulintas agak sesak pada sebelah tengahari.

Punca kebakaran masih belum dapat dikenalpasti.

09 Mei 2009

Dari Gugur Ke Gantung - Arahan Ku Nan Tidak Dipakai?

UMNO Bahagian Labuan menerima satu lagi surat dari Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, membabitkan kes pengguguran jawatan Dato Suhaili.

Dato Suhaili yang sebelum ini digugurkan dari jawatan Ketua Bahagian oleh Tengku Adnan kini berubah status menjadi 'digantung untuk sementara' sehingga kes beliau selesai dibicarakan. Dato Suhaili dijangka akan dibicarakan pada Februari 2010, sungguhpun kedua-dua pihak pendakwa dan tertuduh meminta dibicarakan awal. Sebelum ini dalam minggu yang sama juga, UMNO Labuan ada menerima sepucuk surat dari SUA UMNO menyatakan Datuk Yunus Kurus diminta memangku jawatan Ketua Bahagian sehingga Mesyuarat Agung UMNO akan datang.

Ini bukan kali pertama Tengku Adnan membuat arahan bersendirian membabitkan UMNO Labuan tanpa merujuk Majlis Tertinggi UMNO terlebih dahulu. Tahun lepas Tengku Adnan cuba membatalkan beberapa mesyuarat Cawangan UMNO di Labuan namun diabaikan oleh UMNO Bahagian atas arahan Timbalan Presiden ketika itu, Dato Seri Najib Tun Razak.

Isu Projek / Bertumbuk / Kes Polis - Projek Ditamatkan?


Gambar hakmilik Sabahkini.net

Rakan LabuanKini di KL ada memberikan laporan mengenai perjumpaan beliau dengan pemilik Syarikat UtaraKita Sdn Bhd, pengendali projek Kerja-Kerja Tanah Tapak Komersial Bumiputera, Kompleks Letak Kereta Bertingkat & Esplanade Di Teluk Victoria, Wilayah Persekutuan, Labuan bernilai RM8.2 juta.

LabuanKini dimaklumkan bahawa projek tersebut kini telah ditamatkan dengan rasminya oleh Perbadanan Labuan, kerana tidak mematuhi beberapa syarat dalam kontrak antaranya progress kerja lewat dari jadual, lebih tuntutan dan sebagainya.

Perkara mengenai penamatan kontrak ini dinyatakan terus kepada pemilik syarikat, En. Hanizam di KL. Beliau yang sebelum ini dijemput oleh Perbadanan Labuan untuk berbincang mengenai perkembangan projek mendakwa dipukul oleh rakan kongsinya, Yusani Datuk Yussof ketika di Labuan.

"Saya tidak tahu yang syarikat saya memperoleh projek di Labuan, saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen di Perbadanan Labuan, ataupun membuat sebarang resolusi membenarkan sesiapa bertindak mewakili saya di Labuan. Setelah projek ini tenat, baru saya dihubungi oleh Perbadanan Labuan. Syarikat ini sumber pencarian saya, kalau ianya disenarai hitam oleh kerajaan, bagaimana saya hendak mencari makan?" dakwa beliau.

Beliau kini sedang mengumpul dokumen untuk menyaman rakan kongsinya di Labuan. "Saman mengenai saya dipukul juga sedang dalam proses, laporan perubatan juga sudah ada, laporan polis juga sudah dibuat di Labuan dan kini dalam proses perbincangan dengan peguam saya." kata beliau lagi.

Untuk rekod, beliau mempunyai saham majoriti dalam syarikat Utarakita Sdn Bhd sebanyak 70% manakala rakan kongsinya, Yusani Datuk Yussof memiliki 30%.

04 Mei 2009

Pesta Sukan Air & Jubli Perak Meriah!


Upacara penutupan sambutan Pesta Sukan Air dan Sambutan Jubli Perak Labuan Sebagai Wilayah Persekutuan disambut meriah, menepati ramalan Perbadanan Labuan sebelum ini.

Kesemua hotel dan tempat penginapan habis ditempah, dan warga Labuan yang keluar dari Labuan mulai Khamis lepas hampir kesemuanya balik ke Labuan kelmarin (Ahad). Terminal Feri di Menumbok dilihat sesak dengan kenderaan yang berlumba-lumba untuk balik ke Labuan, begitu juga perkhidmatan bot laju, yang sebelum ini terpaksa menunggu hingga cukup penumpang, kelmarin penumpang yang dilihat menunggu bot laju.

Sambutan pada sebelah malam agak meriah di Kompleks Sukan Air, dimana orang ramai berpusu-pusu untuk ke tapak sambutan. Antara artis-artis yang dijemput oleh Perbadanan Labuan untuk memeriahkan suasana antaranya Mawi AF, Mila AF, Ella, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Daud Kilau dan ramai lagi.

Sebelum ini upacara perasmian dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan, dan upacara penutupan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Paduka Dr. Ng Yen Yen, dengan diiringi Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Basiran Saban.

Sambutan ditamatkan kira-kira jam 12.25 pagi tadi.

03 Mei 2009

Projek Kelas A - Anak Ahli Politik Labuan Bertumbuk?

LabuanKini sebelah petang tadi dihubungi oleh beberapa rakan bloggers mengenai kes seorang anak VIP / ahli politik terkemuka Labuan dilaporkan bergaduh dengan rakan kongsinya dari Semenanjung mengenai kes penipuan satu projek kelas A di Labuan.

Rakan kongsi anak VIP tersebut dikatakan dipanggil ke Labuan oleh Perbadanan Labuan, untuk membincangkan mengenai kerja mereka yang lebih 45% lewat dari jadual. Anak VIP tersebut dikatakan tidak berpuas hati mengenai situasi ini dan bertindak diluar kawalan dengan mencederakan rakan kongsinya dari Semenanjung itu. Kes ini sampai ketangan pihak polis dan kesemua pihak yang terbabit dikatakan dibawa ke balai polis untuk direkodkan keterangan.

VIP Labuan itu juga dilaporkan ada ke balai polis untuk merekodkan keterangan dan menjamin anaknya.

LabuanKini sudah mendapat laporan mengenai perkara ini seawal pagi Khamis lepas lagi, namun memilih untuk tidak membuat laporan mengenainya kerana banyak perkara tidak dapat didedahkan ke umum kerana perkara ini masih dalam siasatan polis.