18 April 2011

Hibernasi

Sudah agak lama lamab blog LabuanKini ini tidak dikemaskini. Saya selaku admin tunggal memohon maaf kepada semua pengikut-pengikut LabuanKini. InsyaAllah laman blog ini akan dikemaskini semula dalam masa terdekat, dengan pembaharuan tema, dan mungkin saya akan mencari beberapa blogger tempatan untuk menyumbang artikel, dan bahan-bahan lain untuk LabuanKini.

Terima kasih kerana masih menjadi pengikut setia LabuanKini. Salam 1 Malaysia.

17 Disember 2010

Pengisytiharan Labuan Sebagai WP Tanpa Sebarang Pampasan

Petikan berita dibawah (Utusan Online, 17 Disember) mengundang minat saya untuk memberi sedikit ulasan.


Tiada pampasan Pulau Labuan jadi Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Penyerahan Pulau Labuan kepada Kerajaan Persekutuan yang dilakukan pada April 1984 untuk dijadikan Wilayah Persekutuan tidak melibatkan sebarang bayaran pampasan kepada Kerajaan Negeri Sabah.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tiada syarat berkaitan perkara itu dinyatakan dalam terma perjanjian dan pengisytiharan Wilayah Persekutuan Labuan.


"Perkara itu telah dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara IV di dalam perjanjian berkenaan," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Maijol Mahap di Dewan Negara hari ini.


Maijol ingin mengetahui sama ada kerajaan berhasrat untuk memberi pampasan kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas pertukaran Pulau Labuan kepada Wilayah Persekutuan demi meyakinkan rakyat terutama di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bahawa kerajaan adalah telus, adil dan saksama.


Raja Nong Chik berkata, kewujudan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan satu usaha positif ke arah mencapai matlamat integrasi nasional.


Selain itu, jelas beliau, ia juga bertujuan mencorak dan memesatkan lagi pembangunan di Pulau Labuan.


Wilayah Persekutuan Labuan sebelum ini ditubuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1984.



Kita menerima pembangunan yang agak banyak setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Sayangnya tidak ramai yang menghargainya, malah ada pula pihak yang mempolitikannya, seperti apa yang diperjuangkan parti SAPP mengenai usaha untuk mengembalikan Labuan ketangan Sabah.

Bayangkan jika kita masih lagi ditadbir dibawah kerajaan negeri Sabah, adakah kita akan berada ditahap seperti sekarang? Adakah akan wujud Ujana Kewangan? Adakah kita pasti Petronas Methanol akan membuka lojinya di Labuan dan bukan di Sepanggar atau Kimanis?

Memang banyak yang kita minta dari kerajaan persekutuan tidak ditunaikan, tapi adakah kita pasti permintaan tersebut akan ditunaikan jika kita berada dibawah kerajaan negeri? Adakah Sabah sanggup membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membina jambatan menghubungkan kita ke tanah besar?

Berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita sebenarnya unik kerana walaupun ditadbir secara terus oleh persekutuan, namun hak-hak kita sebagai sebahagian dari Sabah masih dijamin, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

09 Disember 2010

Kes Dato Suhaili - Belum Selesai Lagi?

(Gambar Ihsan nabilanajwa.blogspot.com)

Selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman didapati didakwa secara salah atas pertuduhan gagal memaklumkan kepada pihak bank beliau pernah diisytiharkan muflis ketika menjadi penjamin kepada sebuah syarikat, kini Pihak Pendakwaraya mengemukakan pula rayuan untuk mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Teka-teki mengenai mengapa kedudukan Dato Suhaili sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan tidak dikembalikan kini sedikit sebanyak sudah terjawab. Ada ura-ura mengatakan Dato Suhaili akan 'ditahan' dari memegang semula jawatan Ketua UMNO Bahagian dengan apa cara sekalipun, sehingga pemilihan parti pada tahun depan. Malangnya Perdana Menteri pula mengumumkan bahawa pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan.

Persoalannya, adakah proses rayuan kali ini akan memakan masa sehingga 18 bulan? Proses rayuan bukan seperti proses pendakwaan biasa. Tidak seperti mula-mula Dato Suhaili dihadapkan ke Mahkamah awal tahun 2009, dimana bila hendak bicara sahaja, terus ditukar pertuduhan.

Seperti kata Datuk Seri Dr. Khir Toyo dua hari lepas, saya pun masih lagi menaruh kepercayaan terhadap sistem perundangan negara kita. Kita tunggu saja apa keputusan Mahkamah Rayuan kelak.

Bagi saya, kes Dato Suhaili ini terlalu kecil untuk diambil berat oleh Pihak Pendakwaraya, kerana tiada satu pihak pun yang teraniaya, baik peminjam, pihak bank maupun orang awam. Hutang syarikat tersebut pun sudah lama dilunaskan.

Bagi saya, yang teraniaya disini ialah Dato Suhaili sendiri. Nampak sangat kes mahkamah ini mempunyai agenda politik.

06 Disember 2010

Kebakaran di Patau-Patau 2

Satu kebakaran telah berlaku di Kampung Patau-Patau 2 pada malam ini, menyebabkan tiga buah rumah terbakar habis dan tidak dapat diselamatkan. Ketika artikel ini ditulis, pihak bomba sedang berusaha untuk memadamkan api di rumah tersebut. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saya tidak dapat merakamkan visual kerana ketiadaan kamera ketika kejadian, dan kamera telefon bimbit tidak dapat merakam gambar dengan jelas kerana ketiadaan lampu flash.

Untuk rekod, rumah tersebut adalah bekas rumah Allahyarham Wanchi, bapa kepada Ketua Kampung Patau-Patau 2, Tn. Haji Sulaiman Wanchi.

01 Disember 2010

UMNO Labuan Bergolak

Rata-rata warga Labuan sudah membayangkan yang ramai ketua-ketua kampung akan digugurkan pada hujung bulan lepas. Antara faktor pengguguran termasuklah faktor kesihatan, reputasi dan umur.

Tapi masih ada bekas ketua kampung yang masih memenuhi kriteria-kriteria yang diberikan, namun masih digugurkan. Contohnya bekas ketua kampung Sungai Keling. Ronnie Tan digugurkan jawatan ketua kampungnya kerana isu politik (beliau masih lagi ahli SAPP, yang kini menjadi parti pembangkang).

Bekas ketua kampung Lubuk Temiang juga memenuhi syarat-syarat diatas, namun seperti Ronnie Tan, beliau juga digugurkan. Apakah sebabnya? Adakah ada kaitan dengan pengguguran beliau sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian? Adakah kerana sebelum ini beliau kuat mengkritik kepimpinan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan? Adakah kerana beliau tidak sebulu dengan Ahli Parlimen sekarang? Atau adakah memang beliau ditolak oleh warga kampungnya sendiri?

Ini adalah beberapa kemungkinan yang logik, kerana jika mengikut kriteria dari Perbadanan Labuan, beliau tidak keluar masuk hospital kerana sakit, kalau dari segi usia, masih ada ketua-ketua kampung yang lebih tua dari beliau namun masih dikekalkan.

Jika mengikut pandangan saya, ini semua ada kaitan dengan UMNO, atau dalam konteks yang lebih meluas, pengaruh politik. Hanya segelintir sahaja ketia-ketua kampung yang digugurkan ada masalah kesihatan. Umur sebenarnya tidak menjadi isu jika masih sihat, bertenaga dan mampu bekerja, melainkan ketua kampung itu sendiri yang minta digugurkan, seperti bekas ketua kampung Patau-Patau 1. Kebanyakan faktor pengguguran ketua-ketua kampung di Labuan adalah bermotifkan politik.

UMNO Pusat selama ini tidak melihat sendiri perkembangan politik di Labuan. Mereka hanya bertanya kepada segelintir pemimpin Labuan mengenainya dan orang yang ditanya ini pula asyik menunjukkan ibu jari sahaja kepada UMNO Pusat, kononnya UMNO Labuan 'ok'.

Mengikut perkembangan semasa, tidak mustahil pilihanraya umum akan diadakan pada tahun depan. Dan jika ramalan saya betul, adakah pengguguran ketua-ketua kampung yang rata-rata dari mereka  adalah ketua cawangan memberi impak positif kepada BN Labuan? Tidakkah ini sepatutnya ada difikiran Menteri Wilayah, Datuk Raja Nong Chik? Sehinggakan ada AJK dilantik juga digugurkan dari UMNO Bahagian? Adakah perlantikan Ahli Parlimen sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian akan meninggikan lagi mutu UMNO Labuan?

Ketika Hj Tony Noolan dilantik sebagai Biro Sukan selepas kalah dalam merebut jawatan Ketua Pemuda, ramai yang mempertikaikannya, kerana beliau yang sudah kalah dalam pemilihan dikira secara 'sah' ditolak dari menerajui UMNO Labuan. Pelbagai kritikan diterima, termasuk dalam ruangan komen laman blog ini (boleh dicari dalam artikel Mesyuarat AJK Bahagian). Adakah isu ini tidak boleh digunapakai dalam konteks perlantikan YB Datuk Yussof Mahal sebagai Ketua Penerangan? YB sendiri kalah dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian. Jika Datuk Yussof bijak, beliau tidak sepatutnya menerima perlantikan tersebut, kerana ini bukannya membawa kebaikan kepada jawatan beliau sekarang sebagai Pengerusi BN Labuan, malah orang akan mempersendakan beliau. "Orang yang kalah dalam merebut jawatan dalam UMNO Bahagian kini cuba memasuki semula UMNO Bahagian dari pintu belakang menggunakan kunci Pengerusi BN".

Ketua UMNO Bahagian Labuan yang kini masih digantung, Dato Suhaili pernah menyuarakan pendapat, pengguguran ketua-ketua kampung yang majoritinya adalah ketua-ketua cawangan UMNO tidak sepatutnya dilakukan pada masa sekarang, kerana kita kini masih dalam proses memperkukuhkan BN di Labuan. Isyarat dari PRU-12 masih terlalu awal untuk dipadam dari fikiran kita. Lantikan baru atau pengguguran AJK dalam UMNO Bahagian juga sepatutnya dielakkan. Dan kalau hendak melantik pun, apa salahnya tunggu sehingga pemilihan akan datang?

Adakah kerana takut tidak dipilih semula pada pemilihan akan datang, maka HARUS membuat lantikan baru dan menggugurkan AJK yang ada sekarang?

Cuba bayangkan, ketika 11 ketua-ketua kampung digugurkan, 16 yang lain juga turut sepakat menolak lantikan yang baru? Atau ketika Ketua Penerangan UMNO Bahagian dilucutkan jawatan, maka satu demi satu AJK Bahagian turut meletak jawatan. Adakah kita perlu jatuh sehingga ketahap ini baru UMNO Pusat membuka mata?

24 Jun 2010

Perbadanan Labuan - Kontrak Pengerusi Disambung, CEO Bagaimana?

Kini sudah kedengaran desas-desus di pulau ini yang kontrak Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Ahmad Phesal Talib disambung semula hingga Mei 2011. Beliau juga merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Ura-ura yang mengatakan Datuk Ahmad Phesal hanya memegang jawatan tersebut selama setahun, dan akan memberikan laluan kepada YB Datuk Yussof Mahal pada tahun ini selepas kontraknya tamat  juga terpesong.

Bagaimana pula dengan status Dato' Basiran Saban sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan? Kontrak beliau dijangka akan tamat pada tahun ini, dan menurut sumber-sumber yang diperolehi dari staf-staf Perbadanan Labuan sendiri, En. Jusoh Salleh akan dilantik menggantikan Dato' Basiran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. En. Jusoh ketika ini memegang jawatan Timbalan CEO bahagian Pembangunan.

Kedengaran juga suara-suara sumbang mempertikaikan perlantikan En. Jusoh sebagai CEO. Beliau yang akan pencen pada tahun 2011 juga dilihat tidak layak memegang jawatan tersebut kerana ketika dipertanggungjawabkan menjaga beberapa projek besar di Labuan, hampir kesemuanya gagal dilaksanakan. Antaranya Projek Pasar Besar Labuan, dan Terminal Bas dan Teksi.

Sabahkini.net juga ada membuat liputan mengenainya disini.

16 Jun 2010

Ralat

Agaknya sudah lebih sebulan saya tidak mengemaskini laman blog ini. Agak banyak juga isu-isu mengenai Labuan yang saya terlepas, antaranya isu monopoli Labuan Ferry, Program Juara Rakyat, UMNO Labuan, Jabatan Pelajaran Labuan (kini Pejabat Pelajaran Labuan) dan banyak lagi.

Bukannya terlalu sibuk, cuma saya ingin meluangkan masa lebih sedikit dengan keluarga. Saya kerap ke sana sini mengumpul informasi dan maklumat.

Insya Allah, mulai bulan depan saya akan mengemaskini laman blog ini sekerap sebelumnya. Isu-isu yang saya terlepas ulas pada dua bulan ini juga akan saya ulas semula dalam bentuk snippet.

Saya meminta maaf kepada pengikut LabuanKini, insya Allah mulai bulan depan LabuanKini akan kembali aktif seperti sebelumnya.

08 Mei 2010

Jambatan Labuan - Jadi Atau Tidak?

Satu ketika dahulu, ketika lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke pulau ini menaikkan sedikit semangat warga Labuan apabila beliau berjanji akan memasukkan projek jambatan Labuan menghubungkan pulau ini ke tanah besar Sabah kedalam RMK-9 sebagai 'add-on project'.

Setelah didesak oleh pelbagai pihak, akhirnya Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik memberi 'jaminan' baru apabila mengumumkan jambatan Labuan akan dibina setelah kajian dibuat membuktikan ianya berdaya maju. UMS dilantik untuk menyiapkan kertas kajian tersebut.

Pada 4 Mei lepas, harapan warga Labuan akhirnya terkubur apabila Datuk Raja Nong Chik mengumumkan yang kerajaan ketika ini tidak melihat jambatan Labuan sebagai 'priority' memandangkan tiada daya saing dan ketiadaan peruntukan. Projek jambatan Labuan dianggarkan bernilai RM3 billion, dan akan bertambah sekali ganda bila ianya tidak dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Bagi pendapat saya, kalau kerajaan tidak melaksanakannya sekarang, kerajaan juga tidak akan berminat untuk melaksanakannya dikemudian hari.  Jika kerajaan tidak mampu untuk memperuntukkan RM3 billion untuk jambatan tersebut, apakah kerajaan akan mampu melaksanakannya apabila kos meningkat kepada RM6 bilion 5-10 tahun akan datang?

20 April 2010

BN Labuan Ke Hulu Selangor - Releven Atau Tidak?

Sudah menjadi lumrah, bila ada saja pilihanraya kecil (PRK), BN disetiap bahagian akan menghantar wakil untuk membantu. Selepas PRU-12, hampir setiap pilihanraya kecil Labuan akan menghantar 'delegasi' untuk membantu.

Persoalannya relevankah bahagian yang kecil seperti Labuan ini menghantar wakil dalam kuantiti yang besar untuk membantu BN dalam usaha memenangi pilihanraya kecil? Jika semua (Ketua Parti Komponen, UMNO Bahagian, YB Ahli Parlimen) turun ke Hulu Selangor, siapa yang tinggal di Labuan?

Besar sangatkah suara Labuan turun beramai-ramai ke semenanjung Malaysia untuk berkempen dalam PRK? Takut-takut bukan sahaja suara tidak didengar, malah warga di sana sedar pun tidak akan kewujudan kita di sana.

Menurut pengalaman saya, paling besar Labuan menghantar wakil untuk membantu dalam PRK adalah pada tahun 2001, ketika itu ADUN Likas, Datuk Yong Teck Lee diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak menang dengan sah dan perlu ada pilihanraya kecil semula. Namun ketika itu situasi adalah berlainan. Perjalanan 'delegasi' dari BN Labuan tidak sampai 200km. Dan kehadiran  wakil kita ketika itu sememangnya disedari dan dihargai. Bukan sahaja UMNO Labuan menggunakan van sendiri, berlogo UMNO Labuan, malah telah menyewa dua papan tanda berlampu bertulis; 'UNDILAH BN - UMNO LABUAN", satu di highway Teluk Likas, dan satu di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu. Dan apabila BN memenangi semula kerusi tersebut, penghargaan diberi kepada wakil Labuan yang turun membantu.

Tapi kini situasi telah berbeza, kos makin tinggi. Apatah lagi kalau ianya membabitkan PRK di semenanjung Malaysia. Yang agak merisaukan lagi, motif utama wakil kita ke sana. Adakah untuk membantu BN berkempen, atau ada 'tujuan' lain? Takut-takut warga Labuan akan dilabel sebagai pandai memanipulasi keadaan atau mandi sambil minum.

19 April 2010

Peter Mark Difitnah?

Perkara ini sudah hampir seminggu berlalu, namun agak rugi kalau laman blog LabuanKini tidak menyentuh mengenainya.

Saya terbaca satu artikel di Sabahkini.net yang bertajuk "PENDUDUK LABUAN MOHON BATAL PERMIT GRO". Individu yang dinamakan sebagai Peter Mark, bekerja dibahagian (disebut cawangan dalam artikel) sumber manusia di Labuan Shipyard menarik minat saya. Saya terus menghubungi teman saya, yang kenal Peter Mark yang disebutkan dalam artikel tersebut untuk bertanyakan kesahihan perkara ini.

Beliau yang menghubungi saya 15 minit kemudian, setelah menghubungi Peter Mark menegaskan yang kandungan artikel tersebut adalah fitnah. Krew Sabah Kini yang kononnya cuba untuk mengesan Peter Mark, sebenarnya tidak mencari beliau. Menurut teman saya, Peter Mark agak senang dicari dan tidak pernah melarikan diri bila diajak berjumpa. Saya mencadangkan kepada teman saya agar Peter Mark berbuat sesuatu untuk mempertahankan diri beliau.

Hari berikutnya, seseorang bernama Alex, menghubungi editor Sabah Kini, meminta agar 'krew Sabah Kini' menghubungi Peter Mark untuk mendapatkan fakta yang sebenar kerana artikel yang ditulis sebelum ini amat ketara seperti dikutip dari cerita-cerita kedai kopi, yang belum tentu kesahihannya.

Saya amat terkejut kerana apabila terbaca; Peter Mark yang berkerja dicawangan sumber manusia di Sabah Shipyard, setahu saya cuma ada satu Peter Mark yang dimaksudkan, iaitu Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan.