Rata-rata warga Labuan sudah membayangkan yang ramai ketua-ketua kampung akan digugurkan pada hujung bulan lepas. Antara faktor pengguguran termasuklah faktor kesihatan, reputasi dan umur.
Tapi masih ada bekas ketua kampung yang masih memenuhi kriteria-kriteria yang diberikan, namun masih digugurkan. Contohnya bekas ketua kampung Sungai Keling. Ronnie Tan digugurkan jawatan ketua kampungnya kerana isu politik (beliau masih lagi ahli SAPP, yang kini menjadi parti pembangkang).
Bekas ketua kampung Lubuk Temiang juga memenuhi syarat-syarat diatas, namun seperti Ronnie Tan, beliau juga digugurkan. Apakah sebabnya? Adakah ada kaitan dengan pengguguran beliau sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian? Adakah kerana sebelum ini beliau kuat mengkritik kepimpinan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan? Adakah kerana beliau tidak sebulu dengan Ahli Parlimen sekarang? Atau adakah memang beliau ditolak oleh warga kampungnya sendiri?
Ini adalah beberapa kemungkinan yang logik, kerana jika mengikut kriteria dari Perbadanan Labuan, beliau tidak keluar masuk hospital kerana sakit, kalau dari segi usia, masih ada ketua-ketua kampung yang lebih tua dari beliau namun masih dikekalkan.
Jika mengikut pandangan saya, ini semua ada kaitan dengan UMNO, atau dalam konteks yang lebih meluas, pengaruh politik. Hanya segelintir sahaja ketia-ketua kampung yang digugurkan ada masalah kesihatan. Umur sebenarnya tidak menjadi isu jika masih sihat, bertenaga dan mampu bekerja, melainkan ketua kampung itu sendiri yang minta digugurkan, seperti bekas ketua kampung Patau-Patau 1. Kebanyakan faktor pengguguran ketua-ketua kampung di Labuan adalah bermotifkan politik.
UMNO Pusat selama ini tidak melihat sendiri perkembangan politik di Labuan. Mereka hanya bertanya kepada segelintir pemimpin Labuan mengenainya dan orang yang ditanya ini pula asyik menunjukkan ibu jari sahaja kepada UMNO Pusat, kononnya UMNO Labuan 'ok'.
Mengikut perkembangan semasa, tidak mustahil pilihanraya umum akan diadakan pada tahun depan. Dan jika ramalan saya betul, adakah pengguguran ketua-ketua kampung yang rata-rata dari mereka adalah ketua cawangan memberi impak positif kepada BN Labuan? Tidakkah ini sepatutnya ada difikiran Menteri Wilayah, Datuk Raja Nong Chik? Sehinggakan ada AJK dilantik juga digugurkan dari UMNO Bahagian? Adakah perlantikan Ahli Parlimen sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian akan meninggikan lagi mutu UMNO Labuan?
Ketika Hj Tony Noolan dilantik sebagai Biro Sukan selepas kalah dalam merebut jawatan Ketua Pemuda, ramai yang mempertikaikannya, kerana beliau yang sudah kalah dalam pemilihan dikira secara 'sah' ditolak dari menerajui UMNO Labuan. Pelbagai kritikan diterima, termasuk dalam ruangan komen laman blog ini (boleh dicari dalam artikel Mesyuarat AJK Bahagian). Adakah isu ini tidak boleh digunapakai dalam konteks perlantikan YB Datuk Yussof Mahal sebagai Ketua Penerangan? YB sendiri kalah dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian. Jika Datuk Yussof bijak, beliau tidak sepatutnya menerima perlantikan tersebut, kerana ini bukannya membawa kebaikan kepada jawatan beliau sekarang sebagai Pengerusi BN Labuan, malah orang akan mempersendakan beliau. "Orang yang kalah dalam merebut jawatan dalam UMNO Bahagian kini cuba memasuki semula UMNO Bahagian dari pintu belakang menggunakan kunci Pengerusi BN".
Ketua UMNO Bahagian Labuan yang kini masih digantung, Dato Suhaili pernah menyuarakan pendapat, pengguguran ketua-ketua kampung yang majoritinya adalah ketua-ketua cawangan UMNO tidak sepatutnya dilakukan pada masa sekarang, kerana kita kini masih dalam proses memperkukuhkan BN di Labuan. Isyarat dari PRU-12 masih terlalu awal untuk dipadam dari fikiran kita. Lantikan baru atau pengguguran AJK dalam UMNO Bahagian juga sepatutnya dielakkan. Dan kalau hendak melantik pun, apa salahnya tunggu sehingga pemilihan akan datang?
Adakah kerana takut tidak dipilih semula pada pemilihan akan datang, maka HARUS membuat lantikan baru dan menggugurkan AJK yang ada sekarang?
Cuba bayangkan, ketika 11 ketua-ketua kampung digugurkan, 16 yang lain juga turut sepakat menolak lantikan yang baru? Atau ketika Ketua Penerangan UMNO Bahagian dilucutkan jawatan, maka satu demi satu AJK Bahagian turut meletak jawatan. Adakah kita perlu jatuh sehingga ketahap ini baru UMNO Pusat membuka mata?
Kategori
01 Disember 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan