02 November 2009

1 Kampung 1 Blog

LabuanKini amat bersetuju dengan cadangan supaya setiap kampung di Labuan mewujudkan laman blognya sendiri. Ini secara tidak langsung dapat membantu warga-warga kampung di Labuan celik IT, dan menarik minat generasi muda untuk membabitkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampung.

Mengikut rekod LabuanKini, hanya JKKK Batu Manikar dan JKKK Sungai Bedaun sahaja yang mempunyai laman blog.

Berikut adalah artikel mengenai pelaksanaan laman blog di 27 kampung-kampung di Labuan (petikan dari Utusan Borneo, 30 Oktober 2009)

27 Kampung di Labuan wujudkan blog

Labuan: Semua 27 buah kampung di Wilayah Persekutuan Labuan bakal mempunyai blog sendiri hasil inisiatif oleh Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL), Universiti Sabah Malaysia Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
Dekan SSIL, Dr. Ag Asri Ag Ibrahim berkata e-Komuniti Labuan akan memperkenalkan penggunaan blog kepada penduduk kampung di pulau ini.
Katanya, setiap kampung akan membangunkan laman blog masing-masing menggunakan laman www.webs.com bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan maklumat mengenai kampung mereka sendiri.
"Pelbagai aktiviti boleh dimuatkan ke dalam blog berkenaan seperti gotong-royong, kenduri kahwin aktiviti rukun tetangga dan kemasyarakatan", katanya berucap pada Majlis Makan Malam SSIL 2009 di Dewan Utama, UMS-KAL, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Basiran Saban melancarkan logo dan maskot baru sempena Ulang Tahun ke-10 SSIL serta pelancaran e-Komuniti Labuan.
Dr. Ag ASri berkata secara tidak langsung program itu dapat menjadi saluran penyebaran maklumat dan mengeratkan silaturrahim dikalangan penduduk kampung.
Beliau berkata ianya juga untuk menggalakkan perkembangan teknologi maklumat dikalangan penduduk kampung dan mewujudkan masyarakat yang positif dan proaktif terhadap suasana kemasyarakatan di kampung.

Tiada ulasan: