01 Januari 2010

Warna Warni Labuan Sepanjang 2009

19 Jan - Isu Pasar Babi menjadi bualan apabila para peniaga daging babi enggan berpindah ke tempat baru di Sungai Keling, sebaliknya mereka beroperasi ditempat terbuka tanpa permit.

1 Feb - Pergerakan Pemuda UMNO Labuan menganjurkan Kejohanan Futsal sempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Kejohanan tersebut dimenangi oleh Pasukan Rancha-Rancha Laut.

16 Feb - Ketidaksefahaman antara Ahli Parlimen Labuan dan ketua-ketua kampung mengorak langkah baru apabila Pejabat Ahli Parlimen Labuan membuat lantikan Wakil Ahli Parlimen (WAP) disetiap kampung-kampung. Ahli Parlimen Labuan menegaskan bahawa WAP bukanlah untuk mengambilalih peranan ketua-ketua kampung, hanya untuk mempermudahkan warga kampung mengajukan permasalahan kepada Pejabat Ahli Parlimen. Perbadanan Labuan bagaimanapun sehingga kini tidak mengiktiraf perlantilan WAP disetiap kampung-kampung

4 Mac - Perdana Menteri Malaysia ke 5, Tun Abdullah Ahmad Badawi melawat Labuan, diiringi oleh Menteri Wilayah ketika itu, Dato' Seri Zulhasnan Rafique. Tun Abdullah memberi jaminan bahawa pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan Sabah akan dimasukkan dalam RMK 10.

9 Apr - Selepas menjadi Perdana Menteri, Dato Seri Najib merombak kabinet, menyaksikan penyingkiran Dato' Seri Zulhasnan Rafique sebagai Menteri Wilayah dan digantikan dengan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal. Kementerian Wilayah Persekutuan kemudiannya bertambah portfolio dan dijadikan sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB).

14 Apr - Mantan Ahli Parlimen Labuan merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman dihadapkan ke mahkamah 2 hari berturut-turut atas pertuduhan menipu bank menggunakan kad pengenalan palsu. Beliau yang dijangka dilantik semula sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan tidak dapat dilantik semula atas pendakwaan mahkamah yang dibuat terhadapnya, malah Setiausaha Agung mengeluarkan surat kepada UMNO Bahagian menggugurkan jawatan beliau sebagai Ketua Bahagian UMNO dengan serta merta.

9 Mei - MKT UMNO setelah bermesyuarat menarik semula pengguguran jawatan Ketua Bahagian Dato Suhaili, beliau sebaliknya hanya digantung sementara, dan penggantungan beliau akan ditimbang semula selepas beliau habis dibicarakan pada Febuari 2010 ini.

14 Mei - Labuan digemparkan dengan kes kebakaran besar yang menimpa Kampung Muslim. Kes kebakaran tersebut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Menteri Wilayah Persekutuan dan UNESCO.

31 Mei - Dato Ahmad Phesal Talib dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan selama setahun, menggantikan Dato Suhaili Abdul Rahman.

2 Jul - Pengarah LOFSA, Datuk Azizan Abdul Rahman disambung kontrak selama 2 tahun

26 Jul - Labuan mencatatkan kes Influenza A H1N1 yang pertama.

30 Jul - Yang Dipertuan Agong, DYMM SPB Tuanku Mizan Zainal Abidin membuat lawatan rasmi ke Labuan.

4 Ogo - Tiga Sekolah ditutup selama seminggu bagi menghalang penularan wabak Influenza A H1N1, setelah beberapa pelajar didapati positif mengidap wabak tersebut.

31 Ogo - Labuan Kini menyambut ulangtahun yang pertama!

4 Sep - Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Setiausaha Kementeriannya membuat lawatan kerja ke Labuan. Antara isu yang dibincangkan termasuklah masalah air dan isu pembangunan di Labuan.

30 Sep - Ahli Parlimen membuat Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Serbaguna. Majlis tersebut disambut meriah, walaupun ketika itu hujan lebat.

13 Okt - Menurut kajian yang dibuat Majlis Tindakan Pelancongan Labuan, kemasukan pelancong ke Labuan meningkat sebanyak 8.4 peratus.

25 Okt - Perdana Menteri Malaysia membentangkan Bajet 2010 di Parlimen. Labuan kali ini tercicir dari bajet, tanpa sebarang peruntukan khas.

2 Nov - UMNO Labuan membuat mesyuarat tergempar apabila Ketua Pemuda UMNO Labuan membuat gesaan agar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dipindahkan serta merta dari Labuan. UMNO Bahagian Labuan membuat pendirian membantah usul tersebut, dengan disokong oleh Pergerakan Wanita UMNO, Puteri UMNO dan Jawatankuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung Labuan.

15 Nov - Kelab Motorsikan Berkuasa Besar Labuan, LA Riders akhirnya mengesahkan bahawa temasya BIIBBF ke-10 akan dibuat di Labuan.

17 Nov - Naib Ketua Pemuda UMNO Labuan bersama 8 lagi Ketua-ketua Pemuda UMNO cawangan mengadakan perjumpaan dengan KPE Perbadanan Labuan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu-isu yang timbul sehingga menyebabkan beliau didesak oleh Ketua Pemuda Labuan agar dipindah serta merta dari Labuan.

29 Nov - Labuan menghantar kontijen ke Negara Brunei Darussalam sempena Temasya Sukan Borneo

18 Dis - Labuan menjadi tuan rumah temasya 'Borneo Island International Big Bikers Festival' (BIIBBF) yang ke-10. Temasya tersebut dianjurkan selama 3 hari.

29 Dis - Menteri Wilayah Persekutuan membuat 'jaminan baru' mengenai Jambatan Labuan bahawa ianya hanya akan dibina jika satu kajian dibuat dan mendapati ianya berdaya maju.

31 Dis - Pertandingan Karaoke Rakyat dianjurkan di tapak letak kereta Arena Bowling Padang sempena sambutan Tahun Baru 2010.


Tiada ulasan: