Petikan dari Bernama, 20 Februari 2010
Kumpulan pemikir rancang pembangunan Labuan
LABUAN: Satu kumpulan pemikir bagi Labuan sedang merancang wawasan jelas bagi hala tuju dan pembangunan masa depan pulau itu, kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal.
"Kami mesti benar-benar fokus untuk membangunkan pulau ini dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum bertepatan dengan konsep 1Malaysia. Kami mesti mendapatkan bijak pandai dan belia yang bagus untuk menyertai kami dan bekerjasama untuk membina pulau ini," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.
Yussof yang baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian Barisan Nasional (BN) Labuan sehingga 31 Mei 2011 oleh Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata kumpulan pemikir itu akan meneliti dengan serius aktiviti ekonomi yang mungkin sesuai untuk Labuan.
"Pemimpin yang bagus tahu mereka tidak boleh menghasilkan semua idea yang baik. Dengan membenarkan input mereka mampu membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab," katanya.
Biro aduan juga akan diwujudkan bagi memastikan lebih banyak penyertaan daripada orang ramai dalam pelbagai projek pembangunan masyarakat yang djalankan kerajaan.
"Bagi saya, ia bukan persoalan memberikan gula-gula, apa yang penting adalah untuk meneruskan polisi BN. Saya juga mendengar apa kata rakyat dan cari apa yang mereka mahu," katanya.
Yussof berkata, ada banyak isu yang perlu ditangani dengan segera seperti meningkatkan bantuan pendidikan dan membantu masyarakat miskin di pulau itu.
"Saya tidak mahu pendekatan secara ad-hoc untuk membetulkan keadaan di sana sini. Kami mesti mencari pendekatan yang lebih konkrit bagi membantu rakyat. Dengan kata lain, apa yang saya cuba jelaskan adalah kami mesti mencari penyelesaian muktamad kepada banyak isu seperti masalah air dan peningkatan harga barangan yang telah lama berlanjutan," katanya.
Yussof yang sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Marin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata apa yang paling penting bagi beliau adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Jika anda tidak melakukan perkara yang betul untuk rakyat atau berkhidmat kepada rakyat, akhirnya rakyat akan membuat penghakiman sendiri. Pemimpin yang bagus akan mendapatkan pandangan dan mengumpulkan idea sebelum membuat perancangan," katanya. - Bernama
Kategori
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
saya sokong 100% apa yang ingin YB lakukan keatas rakyat labuan dan dengan adanya kumpulan pemikir ini kita boleh merancang hala tuju dan pembangunan labuan dalam masa 20 tahun akan datang sama ada dalam bidang agama,pendidikan,teknologi,industri,pertanian dan yang terbaru teknologi hijau yang sangat pesat membangun dinegara-negara dunia pertama. saya sebagai anak jati labuan berpendapat agar YB dapat kumpulkan anak-anak jati labuan yang mempunyai kepakaran dan ilmu dalam bidang yang dinyatakan diatas supaya dapat memberikan idea-idea yang bernas dan bersesuaian untuk dimajukan..insya`allah
Assalamualaikum,
Itu adalah cadangan yg amat baik sekali dan adalah lebih baik jika kumpulan pemikir itu terdiri daripada org Labuan sendiri yg betul betul hendak melihat Labuan maju lebih jau lagi dan kumpulan pemikir ini haruslah di anggotai oleh kaum majority di Labuan. Kumpulan ini haruslah telus dan juga kumpulan ini harus di hebahkan kepada seluruh penduduk pulau melalui Radio Labuan dgn tujuan utk memaklumkan org ramai tujuan dan tanggungjawab kumpulan ini. Pendudk Labuan juga haruslah di beri peluang utk meluahkan pandangan dan komen melalui ruangan tertentu yg kerap di kemas kini.
Catat Ulasan