Hari ini 3 lagi cawangan UMNO di Labuan dijadualkan mengadakan mesyuarat, Layang - Layangan yang sempurna mengadakan mesyuarat siang tadi menyaksikan YB Datuk Yussof Mahal memperolehi satu lagi pencalonan. Bukit Kallam terpaksa menangguhkan mesyuaratnya disebabkan ada kematian di kampung tersebut dan dijadualkan bermesyuarat semula malam ini. Cawangan Kilan, yang merupakan
home branch untuk YB Datuk Yussof Mahal juga dijadualkan bermesyuarat pada malam ini.
Dato` Suhaili hanya akan merasmikan mesyuarat cawangan Bukit Kallam kerana beliau terpaksa bergegas pergi ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga.
Labuan Kini juga difahamkan ada segelintir wakil dari Bahagian Labuan akan berlepas ke Kuala Lumpur esok untuk berjumpa dengan Kepimpinan atasan UMNO untuk menerangkan keadaan sebenar yang terjadi di Bahagian Labuan. Difahamkan sebahagian dari cawangan - cawangan yang diprotes juga akan menghantar wakil ke Kuala Lumpur, juga untuk menerangkan keadaan sebenar di cawangan - cawangan mereka kepada ibu pejabat UMNO.
Ini difahamkan tercetus kerana kumpulan yang berpihak kepada YB Datuk Yussof tidak mengikuti saluran yang disediakan oleh Bahagian untuk menyalurkan bantahan atau protes, sebaliknya terus menghantar bantahan - bantahan mereka ke ibu pejabat UMNO.
Terkini, seperti dilaporkan di New Sabah Times hari ini, Cawangan Durian Tunjung bertegas mengatakan mesyuarat yang mereka adakan minggu lepas adalah sah, walaupun pihak Bahagian menegaskan sebaliknya kerana ketiadaan wakil dari Bahagian untuk mengikuti perjalanan mesyuarat dan mengesahkannya.
Cawangan Ganggarak yang dijadualkan bermesyuarat esok juga dijangka akan menghadapi masalah kerana gagal untuk mendapatkan permit polis untuk mengadakan mesyuarat.
Labuan Kini juga ingin mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO Labuan yang sempat mengadakan mensyuarat di Bukit Kallam, dan sekali lagi menyaksikan Ketua Puteri UMNO Labuan, Pn. Rahimah menang tanpa dicabar.
TERKINI : Ketiga - tiga cawangan yang bermesyuarat hari ini mencalonkan YB Datuk Yussof Mahal, seperti dalam jangkaan Labuan Kini. Keputusan terkini menyaksikan Dato` Suhaili masih mendapat 18 pencalonan dan pencabarnya YB Datuk Yussof Mahal mendapat 6 pencalonan, ini bermakna akan ada pertandingan untuk merebut jawatan Ketua UMNO Labuan pada mesyuarat Bahagian yang dijangka berlangsung Oktober ini.