17 November 2009

Pemuda UMNO Jumpa KPE Perbadanan Labuan - Yang Keruh Semakin Terang

"Kenyataan saya diputarbelitkan", Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan

"Pemuda UMNO Labuan sebulat suara setuju usul supaya Datuk Basiran dipindahkan", Ketua Penerangan Pemuda UMNO Labuan

"Gambaran yang diberikan kepada saya sebelum ini salah", Timbalan Ketua Pemuda UMNO Labuan

"Timbalan saya belot!", Ketua Pemuda UMNO Labuan

"Usul yang dicadangkan oleh Pemuda tidak mendapat sokongan Bahagian dari awal lagi", UMNO Bahagian Labuan

Tengahari tadi, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Labuan, Hj Abdullah Amir bersama dengan 8 lagi Ketua Pemuda Cawangan berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Basiran Saban untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang menjadi kontroversi sehingga tercetusnya usul agar beliau dipindahkan dari Labuan.

Menurut maklumat yang LabuanKini terima, berlaku salah faham mengenai kenyataan beliau. Ketika mengadakan perbincangan dengan pemimpin-peminpin Labuan mengenai kedudukan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, beliau meluahkan kenyataan yang berbunyi ' kenapa kita harus meletakkan otak di lutut...' namun kenyataan beliau itu disalah tafsir.

Datuk Yunus Hj Kurus (Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan/Pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan) dikatakan mengadu kepada Ketua Pemuda UMNO Labuan, Mohd Rafi Ali Hassan bahawa Datuk Basiran mengatakan yang pemimpin-pemimpin Labuan meletakkan otak di lutut. Perkara ini disahkan oleh Mohd Rafi sendiri.

Perkara ini kemudiannya dibawa kemesyuarat peringkat UMNO Perhubungan yang akhirnya menurut kata Mohd Rafi, diputuskan oleh Ketua Perhubungan UMNO WP bahawa Datuk Basiran hendaklah dipindah keluar dari Labuan dengan serta merta.

Namun begitu, ketika perjumpaan dengan Menteri Wilayah, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin minggu lepas, beliau menegaskan akan meneliti perkara ini sebelum membuat keputusan, selepas beliau balik dari menunaikan haji.


2 ulasan:

Soputan berkata...

Kebanyakan konflik besar di Dunia berlaku disebabkan masalah komunikasi. Ramai orang boleh berkomunikasi tetapi tidak ramai yang boleh berkomunikasi dengan baik. Saya berpendapat ini cuma masalah komunikasi yang boleh diselesaikan dengan mudah...

labuankini berkata...

Setuju. Ada baiknya kesemua yang terlibat bersemuka, duduk semeja, berbincang sebelum membuat apa-apa keputusan, daripada mengisytiharkan 'perang media' sesama sendiri.