07 April 2010

Bekas Pengarah JPS Didakwa

LABUAN: Bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Labuan bersama keraninya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kelmarin oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa atas dua tuduhan memalsukan tuntutan dokumen.

Shahrunizam Mashkor, 36, bersama keraninya Rahimah Abdul Rashid, 46, didakwa melakukan tuntutan palsu berkaitan dengan kerja-kerja pembaikan kemudahan pengairan bagi mengorek dan mendalamkan muara sungai di Kampung Sungai Miri dan Kampung Batu Manikar.

Bagi tuduhan pertama Shahrunizam bersama Rahimah dituduh bersubahat memalsukan dokumen baucar bayaran No 0078 bernilai RM16,500.00 berkenaan bayaran kerja mengorek dan mendalamkan Muara Sungai Batu Manikar pada 13 Mac 2008.

Manakala tuduhan kedua, Shahrunizam dan Rahimah dituduh bersubahat memalsukan dokumen baucar bayaran No 0077 bernilai RM18,200.00 berkenaan bayaran kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Miri pada 11 Mac 2008.

Bagaimanapun kedua-dua kerja-kerja itu tidak pernah dilaksanakan sama sekali.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan, Ujana kewangan pada Mac 2008 mengikut Seksyen 11 © Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hal perkara kesalahan yang dilakukan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tiada sebarang pengakuan di buat oleh kedua-dua tertuduh. Sementara itu Hakim Mahkamah Seksyen Labuan, Ismail Ibrahim menetapkan pada 10 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwalili peguam diikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM3,000 setiap seorang yang dicagarkan oleh seorang penjamin tempatan.

Kes pendakwaan di lakukan oleh Pegawai Pendakwaraya SPRM, Ag Shamsul Baharum dan dibantu oleh Timbalannya Mayasin Matli.

Tiada ulasan: