09 April 2010

Tahniah Buat UMS-KAL

Petikan dari New Sabah Times, 7 April 2010

UMS-KAL Dapat MS-ISO

LABUAN: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Amran Ahmed berkata, kejayaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) memperolehi sijil MS ISO adalah hasil kejayaan semua pihak kampus itu.

Katanya, biarpun pengurusan kualiti yang dilaksanakan lebih menjurus kepada skop pengajaran dan pembelajaran namun usaha-usaha untuk merealisasikannya banyak bergantung kepada kerjasama dan sumbangan daripada semua peringkat anggota kerja di kampus ini.

Justeru itu katanya, hasrat pengurusan universiti tidak akan berjaya jika setiap ketua jabatan tidak memberikan kerjasama dalam memantau dan memberi respon kepada aduan yang diterima daripada pelanggan universiti dalam tempoh 7 hari dari tarikh aduan berkenaan diterima.

Katanya, pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membangunkan beberapa instrumen dua hala yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memberi aduan dan komen terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh universiti seperti E-Respon dan E-Aduan.

“Pensijilan MS ISO UMS ini bukan hanya tertakluk kepada peranan yang dimainkan oleh pensyarah namun semua pegawai dan kakitangan sokongan bukan akademik akan turut terlibat dalam aktiviti ini khususnya yang bersifat perkhidmatan kepada pelanggan, “ katanya pada majlis pelancarkan MS ISO 9001:2008 UMS, Kampus Antarabangsa Labuan di Dewan Teater, kelmarin.

Beliau mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Kamarulzaman Ampon.

Turut hadir Dekan Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL), Dr Ag Asri Ag Ibrahim dan Timbalan Pendaftar UMS-KAL, Kamisah Husin.

“Hasrat untuk mendapatkan pensijilan MS ISO bagi UMS-KAL telah lama diusahakan namun hanya dapat dilaksanakan pada 2010 berikutan kekangan dan permasalahan yang tidak dapat dielakkan, “ katanya.

Walau bagaimanapun, Dr Amran berkata usaha yang turut dilebarkan ke UMS-KAL membolehkan moto universiti ‘Pelajar Didahulukan, Pelajar Diutamakan ‘dapat direalisasikan dengan memberi keutamaan dan penekanan kepada keperluan pelanggan,” katanya.

Turut diadakan pada majlis itu ialah satu ceramah kualiti yang bertajuk ‘ Penjelasan Berkenaan MS ISO 9001: UMS, Peranan dan Tanggungjawab Kakitangan Bukan Akademik ‘ telah disampaikan oleh Timbalan Pendaftar, Pusat Perkembangan Akademik UMS, Norti Sirin.

Tiada ulasan: