01 April 2010

RM9j Diterima MAIWP Sepanjang 2009.

Petikan dari New Sabah Times, 1 April 2010

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan menerima peruntukan sebanyak RM9 juta sepanjang tahun 2009 untuk diagihkan kepada golongan asnaf menerusi pelbagai bantuan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan itu adalah hasil daripada kutipan zakat Wilayah Persekutuan yang berjumlah RM230 juta pada tahun lalu.

“Walaupun Labuan hanya mengutip pungutan zakat kira-kira RM4 juta pada tahun lalu, namun kita tidak melihat pengagihan zakat berdasarkan kepada jumlah kutipan sesebuah kawasan, tetapi berdasarkan kepada keperluan sesebuah kawasan,” katanya kepada pemberita, selepas melakukan lawatan kerja turun padang di dua buah kampung di sini pada, Sabtu.

Dalam lawatan itu beliau bukan saja turun padang tetapi turut diungkapkan oleh rakyat di sini sebagai turun ke laut, apabila beliau bersama Ahli Parlimen, Datuk Haji Yussof Mahal mengharungi jeti usang untuk meninjau penduduk kampung air di Kampung Bebuloh Laut bagi menyampaikan bantuan zakat kepada tiga buah keluarga masing-masing bernilai RM35,000 untuk tujuan pembinaan rumah.

Beliau juga turut melawat sebuah lagi kampung di Lubuk Temiang bagi tujuan yang sama.

Selain itu, beliau juga turut melancarkan majlis Semarak Rahmat Bersama Pemimpin dan Golongan Asnaf yang diadakan di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan, pada Ahad.

Di majlis itu beliau mengagihkan kira-kira RM1.4 juta wang zakat kepada golongan Asnaf menerusi pelbagai skim bantuan MAIWP.

Turut sama dalam lawatan kerja itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Haji Anan C Mohd., Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dato’ Che Mat Che Ali, Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Talmizi Yahya dan Ketua kampung Bebuloh, Sulaiman Said.

Tiada ulasan: