20 April 2010

BN Labuan Ke Hulu Selangor - Releven Atau Tidak?

Sudah menjadi lumrah, bila ada saja pilihanraya kecil (PRK), BN disetiap bahagian akan menghantar wakil untuk membantu. Selepas PRU-12, hampir setiap pilihanraya kecil Labuan akan menghantar 'delegasi' untuk membantu.

Persoalannya relevankah bahagian yang kecil seperti Labuan ini menghantar wakil dalam kuantiti yang besar untuk membantu BN dalam usaha memenangi pilihanraya kecil? Jika semua (Ketua Parti Komponen, UMNO Bahagian, YB Ahli Parlimen) turun ke Hulu Selangor, siapa yang tinggal di Labuan?

Besar sangatkah suara Labuan turun beramai-ramai ke semenanjung Malaysia untuk berkempen dalam PRK? Takut-takut bukan sahaja suara tidak didengar, malah warga di sana sedar pun tidak akan kewujudan kita di sana.

Menurut pengalaman saya, paling besar Labuan menghantar wakil untuk membantu dalam PRK adalah pada tahun 2001, ketika itu ADUN Likas, Datuk Yong Teck Lee diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak menang dengan sah dan perlu ada pilihanraya kecil semula. Namun ketika itu situasi adalah berlainan. Perjalanan 'delegasi' dari BN Labuan tidak sampai 200km. Dan kehadiran  wakil kita ketika itu sememangnya disedari dan dihargai. Bukan sahaja UMNO Labuan menggunakan van sendiri, berlogo UMNO Labuan, malah telah menyewa dua papan tanda berlampu bertulis; 'UNDILAH BN - UMNO LABUAN", satu di highway Teluk Likas, dan satu di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu. Dan apabila BN memenangi semula kerusi tersebut, penghargaan diberi kepada wakil Labuan yang turun membantu.

Tapi kini situasi telah berbeza, kos makin tinggi. Apatah lagi kalau ianya membabitkan PRK di semenanjung Malaysia. Yang agak merisaukan lagi, motif utama wakil kita ke sana. Adakah untuk membantu BN berkempen, atau ada 'tujuan' lain? Takut-takut warga Labuan akan dilabel sebagai pandai memanipulasi keadaan atau mandi sambil minum.

19 April 2010

Peter Mark Difitnah?

Perkara ini sudah hampir seminggu berlalu, namun agak rugi kalau laman blog LabuanKini tidak menyentuh mengenainya.

Saya terbaca satu artikel di Sabahkini.net yang bertajuk "PENDUDUK LABUAN MOHON BATAL PERMIT GRO". Individu yang dinamakan sebagai Peter Mark, bekerja dibahagian (disebut cawangan dalam artikel) sumber manusia di Labuan Shipyard menarik minat saya. Saya terus menghubungi teman saya, yang kenal Peter Mark yang disebutkan dalam artikel tersebut untuk bertanyakan kesahihan perkara ini.

Beliau yang menghubungi saya 15 minit kemudian, setelah menghubungi Peter Mark menegaskan yang kandungan artikel tersebut adalah fitnah. Krew Sabah Kini yang kononnya cuba untuk mengesan Peter Mark, sebenarnya tidak mencari beliau. Menurut teman saya, Peter Mark agak senang dicari dan tidak pernah melarikan diri bila diajak berjumpa. Saya mencadangkan kepada teman saya agar Peter Mark berbuat sesuatu untuk mempertahankan diri beliau.

Hari berikutnya, seseorang bernama Alex, menghubungi editor Sabah Kini, meminta agar 'krew Sabah Kini' menghubungi Peter Mark untuk mendapatkan fakta yang sebenar kerana artikel yang ditulis sebelum ini amat ketara seperti dikutip dari cerita-cerita kedai kopi, yang belum tentu kesahihannya.

Saya amat terkejut kerana apabila terbaca; Peter Mark yang berkerja dicawangan sumber manusia di Sabah Shipyard, setahu saya cuma ada satu Peter Mark yang dimaksudkan, iaitu Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan.

09 April 2010

Tahniah Buat UMS-KAL

Petikan dari New Sabah Times, 7 April 2010

UMS-KAL Dapat MS-ISO

LABUAN: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Amran Ahmed berkata, kejayaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) memperolehi sijil MS ISO adalah hasil kejayaan semua pihak kampus itu.

Katanya, biarpun pengurusan kualiti yang dilaksanakan lebih menjurus kepada skop pengajaran dan pembelajaran namun usaha-usaha untuk merealisasikannya banyak bergantung kepada kerjasama dan sumbangan daripada semua peringkat anggota kerja di kampus ini.

Justeru itu katanya, hasrat pengurusan universiti tidak akan berjaya jika setiap ketua jabatan tidak memberikan kerjasama dalam memantau dan memberi respon kepada aduan yang diterima daripada pelanggan universiti dalam tempoh 7 hari dari tarikh aduan berkenaan diterima.

Katanya, pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membangunkan beberapa instrumen dua hala yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memberi aduan dan komen terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh universiti seperti E-Respon dan E-Aduan.

“Pensijilan MS ISO UMS ini bukan hanya tertakluk kepada peranan yang dimainkan oleh pensyarah namun semua pegawai dan kakitangan sokongan bukan akademik akan turut terlibat dalam aktiviti ini khususnya yang bersifat perkhidmatan kepada pelanggan, “ katanya pada majlis pelancarkan MS ISO 9001:2008 UMS, Kampus Antarabangsa Labuan di Dewan Teater, kelmarin.

Beliau mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Kamarulzaman Ampon.

Turut hadir Dekan Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL), Dr Ag Asri Ag Ibrahim dan Timbalan Pendaftar UMS-KAL, Kamisah Husin.

“Hasrat untuk mendapatkan pensijilan MS ISO bagi UMS-KAL telah lama diusahakan namun hanya dapat dilaksanakan pada 2010 berikutan kekangan dan permasalahan yang tidak dapat dielakkan, “ katanya.

Walau bagaimanapun, Dr Amran berkata usaha yang turut dilebarkan ke UMS-KAL membolehkan moto universiti ‘Pelajar Didahulukan, Pelajar Diutamakan ‘dapat direalisasikan dengan memberi keutamaan dan penekanan kepada keperluan pelanggan,” katanya.

Turut diadakan pada majlis itu ialah satu ceramah kualiti yang bertajuk ‘ Penjelasan Berkenaan MS ISO 9001: UMS, Peranan dan Tanggungjawab Kakitangan Bukan Akademik ‘ telah disampaikan oleh Timbalan Pendaftar, Pusat Perkembangan Akademik UMS, Norti Sirin.

07 April 2010

Bekas Pengarah JPS Didakwa

LABUAN: Bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Labuan bersama keraninya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kelmarin oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa atas dua tuduhan memalsukan tuntutan dokumen.

Shahrunizam Mashkor, 36, bersama keraninya Rahimah Abdul Rashid, 46, didakwa melakukan tuntutan palsu berkaitan dengan kerja-kerja pembaikan kemudahan pengairan bagi mengorek dan mendalamkan muara sungai di Kampung Sungai Miri dan Kampung Batu Manikar.

Bagi tuduhan pertama Shahrunizam bersama Rahimah dituduh bersubahat memalsukan dokumen baucar bayaran No 0078 bernilai RM16,500.00 berkenaan bayaran kerja mengorek dan mendalamkan Muara Sungai Batu Manikar pada 13 Mac 2008.

Manakala tuduhan kedua, Shahrunizam dan Rahimah dituduh bersubahat memalsukan dokumen baucar bayaran No 0077 bernilai RM18,200.00 berkenaan bayaran kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Miri pada 11 Mac 2008.

Bagaimanapun kedua-dua kerja-kerja itu tidak pernah dilaksanakan sama sekali.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan, Ujana kewangan pada Mac 2008 mengikut Seksyen 11 © Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hal perkara kesalahan yang dilakukan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tiada sebarang pengakuan di buat oleh kedua-dua tertuduh. Sementara itu Hakim Mahkamah Seksyen Labuan, Ismail Ibrahim menetapkan pada 10 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwalili peguam diikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM3,000 setiap seorang yang dicagarkan oleh seorang penjamin tempatan.

Kes pendakwaan di lakukan oleh Pegawai Pendakwaraya SPRM, Ag Shamsul Baharum dan dibantu oleh Timbalannya Mayasin Matli.

01 April 2010

RM9j Diterima MAIWP Sepanjang 2009.

Petikan dari New Sabah Times, 1 April 2010

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan menerima peruntukan sebanyak RM9 juta sepanjang tahun 2009 untuk diagihkan kepada golongan asnaf menerusi pelbagai bantuan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan itu adalah hasil daripada kutipan zakat Wilayah Persekutuan yang berjumlah RM230 juta pada tahun lalu.

“Walaupun Labuan hanya mengutip pungutan zakat kira-kira RM4 juta pada tahun lalu, namun kita tidak melihat pengagihan zakat berdasarkan kepada jumlah kutipan sesebuah kawasan, tetapi berdasarkan kepada keperluan sesebuah kawasan,” katanya kepada pemberita, selepas melakukan lawatan kerja turun padang di dua buah kampung di sini pada, Sabtu.

Dalam lawatan itu beliau bukan saja turun padang tetapi turut diungkapkan oleh rakyat di sini sebagai turun ke laut, apabila beliau bersama Ahli Parlimen, Datuk Haji Yussof Mahal mengharungi jeti usang untuk meninjau penduduk kampung air di Kampung Bebuloh Laut bagi menyampaikan bantuan zakat kepada tiga buah keluarga masing-masing bernilai RM35,000 untuk tujuan pembinaan rumah.

Beliau juga turut melawat sebuah lagi kampung di Lubuk Temiang bagi tujuan yang sama.

Selain itu, beliau juga turut melancarkan majlis Semarak Rahmat Bersama Pemimpin dan Golongan Asnaf yang diadakan di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan, pada Ahad.

Di majlis itu beliau mengagihkan kira-kira RM1.4 juta wang zakat kepada golongan Asnaf menerusi pelbagai skim bantuan MAIWP.

Turut sama dalam lawatan kerja itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Haji Anan C Mohd., Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dato’ Che Mat Che Ali, Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Talmizi Yahya dan Ketua kampung Bebuloh, Sulaiman Said.