25 Mac 2010

Pengerusi PL TIba di Labuan

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Ahmad Phesal Talib dilihat tiba di Lapangan Terbang Labuan malam tadi. Beliau yang juga Ketua Setiausaha Kementerian WP dijangka akan berada di Labuan selama 2 hari hingga Sabtu ini atas lawatan kerja.

Beliau dijadiulkan akan mengadakan beberapa mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan Perbadanan Labuan sepanjang esok hari.

Beliau juga dijangka akan membuat pertemuan dengan ketua-ketua kampung di Labuan pada sebelah malam esok bagi membincangkan beberapa isu membabitkan protokol dan majlis-majlis yang membabitkan Perbadanan Labuan.

23 Mac 2010

UMS KAL - RM18.3j Terlaksana

Petikan dari New Sabah Times, 22 Mac 2010.

UMS-KAL laksana 9 projek bernilai RM18.3 juta


LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) melaksanakan 9 buah projek bernilai RM18.3 juta untuk menaik taraf dan menambah pasarana kampus itu.

Timbalan Pendaftar kampus universiti itu, Kamisah Hussin berkata, kesemua projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, namun perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Kita telahpun mengenal pasti sembilan buah projek yang sebahagiannya telah pun kita laksanakan,” katanya kepada pemberita sempena Seminar Ulang tahun ke 10 UMS-KAL di sini baru-baru ini.

Katanya antara projek yang diberi keutamaan untuk dilaksanakan ialah projek bekalan air sejuk bernilai RM4.5 juta, menaik taraf kemudahan bekalan tenaga yang sering terputus di kampus ini.

“Kita telah peruntukan sebanyak RM600,000 kepada Syarikat SESB bagi meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf,” katanya.

Selain itu katanya, kompleks sukan UMS-KAL juga akan turut di naik taraf membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5juta serta dua lagi projek yang membabitkan penyertaan Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk membina makmal masing-masing untuk Sekolah Perniagaan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL) dan Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL) yang setiap satu bernilai RM1 juta.

Dalam perkembangan yang lain, Dr Shariff yang turut ditemui di majlis itu menjelaskan UMS-KAL telah menerima peruntukan kilat sebanyak RM500,000 bagi pemasangan lima buah pam dan 15 buah tangki bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang kritikal sejak tujuh bulan lalu sehingga mengundang tunjuk perasaan secara aman oleh pelajar berkenaan.

Menurut Shariff, semua pam dan tangki itu yang dipasang di blok kediaman pelajar dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

“Dengan siapnya pemasangan pam dan tangki itu akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di kampus itu,” katanya.

18 Mac 2010

AJK BN Labuan - Mantap Dan Bertenaga?


Pengerusi BN Labuan, YB Datuk Yussof Mahal telahpun melantik ahli jawatankuasa baru Barisan Nasional Labuan beberapa hari yang lepas. Lantikan yang dibuat beliau mendapat pelbagai reaksi, positif dan negatif.

Datuk Isli Siput dalam satu kenyataan akhbar menyifatkan barisan ahli jawatankuasa baru ini dilihat bertenaga dan bersemangat tinggi. Antara yang wakil UMNO yang dilantik dalam AJK BN kali ini termasuklah Pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Yunus Kurus sebagai Timbalan Pengerusi, Drs Harun Pudin sebagai Setiausaha, En. Ali Datuk Omar Bledram sebagai Bendahari dan En. Rozman Datuk Isli sebagai Naib Pengerusi.

Ketua-ketua parti komponen BN yang lain juga masing-masing dilantik sebagai Naib Pengerusi, melainkan MIC, dimana bukan ketua yang dilantik sebagai Naib Pengerusi.

Namun kali ini agak janggal sedikit apabila Naib Ketua Bahagian UMNO, Tn Hj Bashir Alias tercicir dari senarai ahli jawatankuasa. Lantikan Setiausaha UMNO Bahagian, En Rozman Datuk Isli dalam senarai AJK BN dilihat sebagai membelakangkan hierarki parti.

Juga dilihat agak menghairankan apabila Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan, Datuk Yussof Mohammad dilantik sebagai Ketua Penerangan. Ini kerana beliau tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam mana-mana parti komponen BN di Labuan, apatah lagi dalam UMNO Bahagian Labuan.

Apa-apapun diharap barisan AJK BN kali ini dapat memantapkan persiapan parti menjelang PRU-13 kelak.

16 Mac 2010

Masalah Air - Makin Meruncing

Petikan dari New Sabah Times, 16 Mac 2010.


Simpanan air Labuan hanya mampu bertahan empat bulan


LABUAN: Penduduk Labuan bakal menghadapi masalah kekurangan air yang lebih kritikal apabila empangan untuk menyimpan air yang ada di pulau ini hanya mampu bertahan untuk tempoh empat bulan atau kurang daripada itu dari sekarang.
Masalah kemarau yang berpanjangan sejak November lalu menyebabkan dua dripada tiga empangan di sini membabitkan empangan Kerupang dan Sungai Miri kering.
Satu-satunya empangan yang masih mempunyai simpanan ialah empangan Bukit Kuda yang ketika ini mempunyai sekitar 75 peratus simpanan air yang mampu bertahan untuk tempoh empat bulan.
Demikian satu kenyataan yang diemailkan kepada New Sabah Times di sini oleh Pengerusi Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) cawangan Labuan, Derex Chan semasa menghadiri sesi dailog antara Jabatan Bekalan Air dengan persatuan itu yang dipengerusikan oleh Pengarah Air Labuan Sulaiman Kamiran bersama penduduk Taman Perumahan Bedaun yang yang diadakan baru-baru ini.
Bagaimanpun menurut kenyataan itu lagi, Sulaiman yang mengetetuai Jabatan Bekalan Air Labuan, berkata pihaknya telah pun memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tindakan segera telahpun diambil sebagai penyelesaian jangka pendek sementara menunggu projek paip dasar laut kedua dari Beaufort ke labuan yang bernilai RM365 juta siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Menurut Sulaiman, Labuan memerlukan bekalan air sekurang-kurangnya 56 hingga 60 juta liter sehari, berbanding hanya 42 juta liter air yang diterima setiap hari dan 80 peratus daripada jumlah itu datang dari Beaufort dan 20 peratus dari empangan yang ada di Labuan.
Sementara itu, kerajaan turut melantik Sime Darby untuk melaksanakan projek perigi tiub sejak Mei lalu dan berjaya menghasilkan bekalan air sehingga 3.5 juta liter setiap hari.
Dalam pada itu, Sulaiman juga dilaporkan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat kemarau yang berpanjangan itu ialah Kampung Belukut, Bebuloh Darat, Sungai Bedaun, Perumahan Taman Mutiara dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
Bagi menangani masalah yang melanda di kawasan-kawasan tersebut, Sulaiman memberitahu pihaknya telah mengunakan Ruman Pam Bukit Kalam untuk mengalihkan air ke Sungai Bedaun. Manakala satu lagi pam akan dibina di kawasan Sungai Kinabenuwa untuk menyalurkan air ke beberapa kawasan yang terjejas termasuk di Perumahan Taman Bedaun, Kampung Belukut dan juga Kampung Bebuloh Darat serta kawasan UMS-KAL.
Sementara itu, Sulaiman ketika berdailog dengan PPPM turut meminta pengguna supaya dapat berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran seperti mencuci kereta dan sebagainya.
Hadir sama pada sesi dailog itu, Pengerusi PPPM Sarawak, Dato’ Yeo Kok Vui dan Penolong Pengarah Jabatan Bekalan Air Labuan, Christoper Lim.




Jika keadaan ini masih berlarutan, atau Labuan masih dilanda musim kemarau empat bulan yang mendatang, ini bermakna Labuan tidak ada bekalan air bersih sementara menunggu projek paip saluran air bersih dari Beaufort siap.

10 Mac 2010

Empat Muka Baru Ahli Majlis PL

Petikan dari New Sabah Times 9 Mac 2010

LABUAN: Empat muka baru merupakan enam yang dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan (PL) untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010 hingga 31 Disember 2011.

Empat muka baru yang dilantik oleh Kementerian Wilayah Persekutuan itu ialah Yang Di Pertua Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mohammad, Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Chin Cee Kee, Pengerusi Majlis Pengguna Wilayah Persekutuan Labuan, Hajah Fauziah Datuk Mohd Din dan Ketua Bahagian Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) cawangan Labuan, Ronald James Majing.

Sementara itu, dua muka lama yang dikekalkan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base (ASB) Labuan, Dato’ Harris Haji Annuar Tan dan Pengerusi Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Labuan, Dr Harun Pudin.

Senarai perlantikan baru Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan diumumkan dalam satu kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah dan Kesahjeteraan Bandar yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Ahmad Phesal Talip, pada Isnin.

Kenyataan empat perenggan itu turut menyebut Pemangku Ketua Umno Bahangian Labuan, Datuk Haji Yunus Haji Kurus telah dilantik semula sebagai Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkuatkuasa pada 21 Oktober 2009 lalu sehingga 9 Oktober 2011.

Empat muka lama yang tidak dilantik semula ialah Presiden Syarikat Kumpulan Isro, Datuk Haji Isli Siput, Ketua Wanita Umno Bahagian Labuan, Aini Haji Safar, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan, Datuk Francis Tee dan Ketua Kampung Sungai Keling, Ronny Tan Beng Hian.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Haji Yunus Haji Kurus yang berada di ibu negara ketika dihubungi di sini kelmarin berkata, beliau berharap semua mereka yang diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi itu akan dapat bekerjasama dan mampu meneruskan aspirasi agenda kecermelangan pengurusan, pentadbiran Perbadanan Labuan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih dinamik, responsif, cekap dan berdaya saing selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan Labuan wilayah sebagai yang maju menjelang 2015.

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka dan berharap mereka dapat memberikan sumbangan yang berguna kepada rakyat Labuan dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

09 Mac 2010

Kes Mahkamah Dato Suhaili - Sah SPRM Pinda Pertuduhan.

Mengikut sumber, tengahari tadi sah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menukar pertuduhan yang dibuat terhadap mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman.

Kedua-dua pertuduhan sebelum ini; menggunakan kad pengenalan bukan miliknya untuk membuat pinjaman bank dan membuat pengakuan bersumpah palsu dihadapan jaksa pendamai terpaksa digugurkan oleh hakim atas kekurangan bukti dipihak pendakwa. Bagaimanapun pihak pendakwa mengemukakan satu lagi pertuduhan terhadap beliau; gagal mengisytiharkan petisyen muflis terhadap beliau yang dikenakan pada 1993 yang kemudiannya dilepaskan pada 1997 (pinjaman bank berlaku pada 1996).

"Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah memberitahu Hakim Duncan Sikodol bahawa pertuduhan dipinda kepada Seksyen 109 (1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya." 

Ini bermakna kes beliau bukan lagi berstatus kes kriminal, bertukar kepada status kes sivil.

Dato Suhaili dikatakan membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan baru itu untuk tidak membuang banyak masa turun naik mahkamah, yang mana turut menjejaskan status beliau sebagai Ketua Bahagian UMNO Labuan yang kini masih digantung sementara menunggu kes beliau selesai. Hakim menetapkan hari esok untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman.

Kes Mahkamah Dato Suhaili - Tangguh Lagi?

Saya difahamkan ketika ini majoriti ketua-ketua kampung Labuan kini berada di Kota Kinabalu untuk memberi sokongan moral kepada mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman berhubung kes mahkamah beliau yang dijadualkan akan dibicarakan pada hari ini (Isnin).

Menurut laporan yang saya terima, perbicaraan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada jam 9 pagi tadi terpaksa ditunda ke waktu tengahari kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dijangka membuat lawatan rasmi ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Perbicaraan tersebut kemudiannya ditangguhkan lagi dan dijadualkan akan dibicarakan pada keesokan harinya.

Perbicaraan kes ini adalah penentu buat Dato Suhaili, sama ada kekal menjadi Ketua Bahagian UMNO Labuan atau tidak. Jawatan beliau sebagai Ketua Bahagian digantung sementara menunggu keputusan mahkamah, sama ada beliau bersalah atau tidak.

Menurut satu sumber yang saya terima lagi, pertuduhan terhadap Dato Suhaili mungkin akan diubah esok oleh pihak pendakwaraya. Kesahihan laporan ini, dan alasan atas perubahan pertuduhan terhadap beliau hanya akan diketahui esok pagi.

Jika benar pertuduhan terhadap beliau diubah disaat-saat akhir, ini merupakan tamparan hebat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selaku pendakwa dalam kes ini. Kes Dato Suhaili yang sepatutnya dibicarakan pada pertengahan Februari lepas ditangguhkan atas permintaan SPRM, dan pada 24 Februari pula, pihak SPRM mengesahkan pendakwaan terhadap Dato Suhaili kekal dan akan dibicarakan pada 8 Mac ini (secara kebetulan, sama dengan tarikh PRU ke-12 lepas, 8 Mac 2008).

Jika pertuduhan sebelum ini diubah disaat-saat akhir, orang mula membayangkan SPRM 'mengheret' kes-kes berprofil tinggi seperti ini kemahkamah tanpa kaji selidik, usul periksa terlebih dahulu, sama ada kukuh atau tidak. Dakwaan Dato Suhaili pada tahun lepas kononnya ada 'pihak' yang cuba mensabotaj beliau ketika kontrak beliau sebagai Pengerusi Perbadanan hampir disambung semula pada Mac tahun lepas mungkin ada betulnya. Apa-apapun, saya akan cuba membuat laporan susulan selepas pagi esok, perkembangan terkini mengenai Kes Dato Suhaili.

03 Mac 2010

Masalah Air - Penuntut UMS-KAL Piket

Saya menerima maklumat yang pagi tadi penuntut-penuntut Universiti Malaysia Sabah-Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) mengadakan piket. Kira-kira 1000 penuntut UMS-KAL mengambil bahagian dalam piket pagi tadi yang diawasi oleh pihak polis.

Sebelum mengadakan piket, pihak MPP telah menyerahkan memorandum kepada Jabatan HEP, meminta agar Menteri Pengajian Tinggi datang melawat kampus tersebut dan melihat kesengsaraan mereka tanpa bekalan air bersih.

Masalah bekalan air di Labuan sudah berlarutan sejak tahun lepas, dan bertambah buruk akibat cuaca kemarau akhir-akhir ini. Masalah bekalan air Labuan dijangka akan berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beaufort siap sepenuhnya.

01 Mac 2010

RM 3 Bilion Untuk Pembangunan Labuan.

"LABUAN: Peruntukan RM3 bilion telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Labuan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata jika diluluskan ia adalah hadiah khas bagi Labuan sempena ulang tahun ke-26 di dalam Wilayah Persekutuan."

Berikut adalah petikan dari Berita Harian Online versi Muktahir kelmarin. Berita ini kemudiannya mengisi dada-dada akhbar Sabah baik dimuka hadapan maupun mukasurat kedua pada hari ini.

Bukannya cuba untuk berfikiran skeptikal, tapi apabila Menteri Wilayah menggunakan perkataan 'jika diluluskan', saya sudah tidak menaruh harapan besar. Labuan sudah seringkali diberi janji manis seperti ini. Ketika era Tun Mahathir kita sudah memohon untuk dibina jambatan menghubungkan pulau mutiara ini dengan tanah besar. Lawatan Tun Abdullah ke Labuan membuka sedikit harapan apabila beliau berjanji untuk memasukkan pembinaan jambatan ini dalam Rancangan Malaysia Ke - 9 sebagai projek ad-hoc.

Terkini, Menteri Wilayah pula pada tahun lepas mengumumkan yang jambatan Labuan hanya akan dipertimbangkan selepas kaji selidik dibuat dan mendapati ianya berdaya maju. Seolah-olah kita seperti kembali semula kegarisan permulaan mengenai isu jambatan ini.

Kalau pemimpin-pemimpin di Labuan bersikap tunggu dan lihat, atau mengharapkan 100% kepada Menteri Wilayah untuk mengejar RM3b ke Kementerian Kewangan, saya percaya kita tidak akan dapat peruntukan RM3b ini, kalau dapat RM30 juta pun sudah dikira bertuah.

Tidak salah untuk kita bersikap optimis, tapi biarlah berpijak dibumi yang nyata.