31 Januari 2009

25 Tahun Labuan Sebagai Wilayah Persekutuan




Selamat Hari Wilayah
Ulang Tahun ke-25 Jubli Perak
Labuan Sebagai Wilayah Persekutuan


LabuanKini juga ingin mengucapkan Selamat Hari Wilayah kepada pengikut laman blog ini yang berada di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

30 Januari 2009

Hari Wilayah

LabuanKini difahamkan bahawa tidak ada sambutan Hari Wilayah secara besar-besaran tahun ini di Labuan. Hanya hari penutupan sahaja yang akan disambut di Labuan, pada 28 Februari depan.

Sungguhpun begitu, pelbagai aktiviti akan diadakan di Labuan pada hujung minggu ini, termasuklah kejohanan Futsal anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Labuan pada 1 dan 2 Februari, Paintball Labuan Open 2009 yang akan diadakan di Padang Rugbi pada 1 Februari dan pertandingan Lawn Bowl (LabuanKini masih belum mendapat maklumat terperinci, akan dipos kelak bila dapat).

Ketua-ketua kampung Labuan juga dikhabarkan sudah berlepas ke Kuala Lumpur untuk sambutan Hari Wilayah yang akan diadakan di Taman Tasik Titiwangsa.

29 Januari 2009

The Year of Ox!


Labuan masih lagi meriah dengan sambutan tahun baru Cina. Di bandar Labuan masih lagi kedengaran bunyi paluan gendang dan tarian singa. Masih ada lagi kedai-kedai yang dimiliki oleh warga berbangsa Cina masih tutup, belum mula berniaga. Jemputan rumah terbuka juga tidak kurang banyaknya.

LabuanKini rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan;

Selamat Tahun Baru Cina
Kepada Semua Warga Labuan
Terutama Pengunjung Labuan Kini Yang Berbangsa Cina

25 Januari 2009

Isu Pasar Babi - Bila Akan Selesai

Perbadanan Labuan sudah mengeluarkan amaran ketiga dan terakhir untuk peniaga daging babi berpindah ke pasar baru. Namun masih belum nampak tanda-tanda para peniaga tersebut akan akur untuk berpindah.

Campurtangan MCA Labuan dalam hal ini juga tidak menampakkan sebarang kesan positif terhadap situasi semasa. MCA mula bertindak campurtangan secara terbuka apabila Perbadanan Labuan bertindak merobohkan meja di pasar lama.

Ahli Parlimen Labuan juga ada membuat kenyataan didada akhbar untuk cuba membincangkan perkara ini dengan Perbadanan Labuan, namun masih tidak ada apa-apa perkembangan mengenainya.

Perbadanan Labuan suda beberapa kali cuba untuk berlembut dengan peniaga-peniaga daging babi, dengan melengahkan arahan berpindah dari 1 Disember 2008 ke 1 Januari 2009, dan yang terbaru 28 Januari.

Pada 19 Januari lepas, para peniaga daging bertindak melampau dengan menjual daging babi ditempat terbuka. Ini mengundang perasaan kurang senang kepada sebahagian penduduk Labuan, terutama yang beragama Islam, berpendapat bahawa peniaga-peniaga tersebut tidak peka tengang isu-isu sensitif yang membabitkan penduduk melayu dan Islam.

24 Januari 2009

Berita Baik Untuk Kontraktor Kelas F

RM2.7 juta projek infrastruktur untuk Labuan

23/01/2009 12:26pm

LABUAN 23 Jan. - Kira-kira RM2.7 juta projek pembangunan infrastruktur akan diberikan kepada 28 kontraktor di pulau bebas cukai itu sebagai sebahagian inisiatif kerajaan untuk membantu kontraktor tempatan agar dapat bertahan dalam keadaan ekonomi yang suram kini.

Projek-projek tersebut hanya untuk kontraktor Kelas F yang diserahkan melalui Unit Perancangan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah pakej rangsangan bernilai RM 7 bilion yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Projek berkenaan akan diberikan melalui proses pengundian berkomputer menyaksikan sebanyak 162 kontraktor tempatan mengambil bahagian. - Bernama

20 Januari 2009

Jutawan Segera Tak Kesampaian

Polis Marin tumpas seludup rokok, arak RM 2juta

MENUMBOK 19 Jan. - Polis Marin di sini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai RM2 juta di Kuala Sungai Kampung Tananak dekat sini malam semalam.

Dalam operasi pada pukul 9 malam itu, sepasukan anggota polis yang melakukan penyamaran menahan sembilan buah bot yang terkandas ketika air surut di kuala sungai itu.

Ketua Polis Marin Sabah, Asisten Komisioner Abdul Manaf Othman berkata, sebaik sahaja ditahan, pasukan itu menemui sejumlah 1,100 unit minuman keras dan 36,700 bungkus rokok pelbagai jenama di dalam bot berkenaan.

Katanya, operasi diketuai Asisten Supritendan Fauzi Ibrahim bersama 30 anggota itu turut menahan dua lelaki rakyat tempatan berusia 18 dan 20 tahun.

"Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam bot berkenaan. Bagaimanapun, beberapa ahli sindiket itu sempat melarikan diri.

"Polis kemudian merampas sembilan buah bot itu dan 29 enjin sangkut yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan tersebut," katanya ketika ditemui di Jeti Menumbok, semalam.

Menurut Abdul Manaf, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenai sindiket penyeludupan itu termasuk mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan penyeludupan barang larangan berkenaan.

Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM2 juta, bagaimanapun ia tidak termasuk cukai Kastam Diraja Malaysia.

Kata beliau, kesemua rampasan itu dibawa ke Jeti Menumbok untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, rampasan minuman keras dan rokok itu merupakan yang terbesar awal tahun ini sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

19 Januari 2009

Isu Hospital - Selamatkah Warga Labuan?

Amat banyak kes-kes yang kita dengar pesakit terpaksa diterbangkan ke Kota Kinabalu berikutan kekurangan tenaga pakar dan peralatan perubatan di hospital-hospital Labuan, baik Hospital Nukleus maupun Hospital Lama.

Kementerian Kesihatan sepatutnya membuat pertimbangan, kita sudah hampir menyambut jubli perak, 25 tahun Labuan dibawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Pembangunan Petronas Methanol membawa juga masuk pelbagai tenaga kerja ke Labuan, sekaligus menambah penduduk yang menetap di Labuan. Kita sudah patut ada doktor pakar dan peralatan perubatan yang mencukupi. Ketika Hospital Nukleus Labuan dibina, ingatkan situasi perubatan di Labuan juga bertambah baik, tapi rupanya masih lagi di tampuk lama.

Lebih menyakitkan lagi bila ianya mengakibatkan kes kematian dan doktor dan para pegawai perubatan di hospital-hospital Labuan hanya mampu memberikan alasan "kita kekurangan peralatan", "kita tiada pakar" dan alasan yang paling tidak dapat diterima; "kalau diterbangkan ke KK, mungkin boleh selamat".

Amat kerap kes-kes sebegini dikhabarkan dari mulut kemulut, namun tiada siapa yang betul-betul tampil membuat aduan. LabuanKini berasa tidak patut untuk disebut kes-kes ini dengan lebih terperinci (melainkan diminta) dilaman ini kerana ianya membabitkan sensitiviti dan perasaan waris dan keluarga mangsa.

Mudah-mudahan YB kita dapat membawa perkara ini ke Dewan Parlimen untuk dibahaskan.

13 Januari 2009

DP TiongHua lawat Pengerusi PL


DEWAN PERNIAGAAN TIONGHUA  LABUAN  BUAT KUNJUNGAN HORMAT TERHADAP SUHAILI


LABUAN: Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC)  telah mengadakan kunjungan hormat terhadap  Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Haji Suhaili Abdul Rahman yang diadakan di pejabatnya di bangunan Wisma Perbadanan Labuan, pada Isnin.


Rombongan seramai tujuh orang itu  di ketuai oleh Pengerusinya, Chin Chee Kee. Turut sama ialah timbalannya Roger Chua Tuan Song.


Chin Chee Kee yang ditemui selepas majlis itu berkata, kunjungan hormat tersebut adalah bertujuan untuk memperkenalkan  barisan kepimpinan yang baru dilantik bagi sesi 2009/2010, selain itu  menyatakan hasrat untuk  terus bekerjasama dan menjalinkan hubungan baik  dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga agensi kerajaan yang lain.


Antara mereka yang dipilih untuk  sesi 2009/2010 ialah Presiden, Chin Chee Kee, Timbalan Presiden, Roger Chua, tiga Naib Presiden terdiri Seck Mun Foo, Wong Kii Yii, Chin Kon Tai, Setiausaha, Kok Voon Fong dan Bendahari, Robin Liaw.


GAMBAR: KUNJUNGAN HORMAT…. Chin (kanan)  bersama rombongan ketika mengunjugi Suhaili (dua dari kanan) berjanji untuk membantu membangunkan Labuan.


Nasib Nelayan Labuan

144 NELAYAN TEMPATAN TERIMA ELAUN SARA HIDUP RM200 SEBULAN

LABUAN: Seramai 144 daripada 525 nelayan tempatan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini  menikmati  elaun sara hidup sebanyak RM200.00 sebulan  sejak Jun tahun lalu.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan,  Mohd. Khir  Mohd. Sham berkata,  pembayaran itu melibatkan peruntukan sebanyak RM28,800 sebulan.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu dijangka meningkat  pada  Febuari ini apabila seramai 175 nelayan lagi    diluluskan lesen mereka, manakala  206  nelayan lagi sedang menunggu kelulusan.

“Selain  itu, seramai 262 nelayan  turut  menerima  bayaran insentif sejak September lalu   sebanyak RM0.10 sen  bagi setiap kilo  ikan yang di daratkan mengikut zon yang ditetapkan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media  selepas melancarkan Program Hari Bertemu Pelanggan LKIM  yang diadakan di Taman Pertanian Kilan dekat sini, pagi kelmarin.

Sementara itu katanya, seramai 178 nelayan  layak menerima  subsidi minyak kad e-petrol dan 88 yang lain menerima  sudsidi kad e-diesel.

Menyentuh mengenai program Hari Bertemu Pelanggan, Mohd Khir berkata  ia bertujuan untuk memberi maklum balas kepada nelayan mengenai isu-isu berkaitan dengan tugas dan  tanggung jawab LKIM.

“  Selain itu kita juga memberikan penjelasan mengenai isu-isu subsidi minyak, elaun sara hidup dan insentif  yang layak diterima oleh para nelayan yang berdaftar atau berlesen” katanya.

Katanya program yang julung kalinya diadakan ini turut disertai oleh beberapa agensi yang berkait rapat dengan aktiviti nelayan seperti  Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Malaysia Deepwater Production Contraktor Sdn. Bhd. (MDPPCSB).

10 Januari 2009

Bintang RTM 2009

Labuan FM hari ini mengadakan ujibakat untuk "Bintang RTM 2009". Ujibakat yang bermula pada jam 9 pagi tadi dijangka akan berterusan hingga jam 5 petang ini.

Sessi ujibakat juga akan diadakan esok pada waktu yang sama. Ketika artikel ini ditulis, sudah ada lebih 30 peserta menyertai ujubakat tersebut.

09 Januari 2009

Misi "Labuan" ke Kuala Terengganu.

UMNO Labuan dikhabarkan sudah menghantar beberapa wakil ke Kuala Terengganu untuk membantu kempen calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil selepas kerusi Parlimen dikosongkan berikutan kematian bekas ahli Parlimen, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail 28 November lepas.

Antara yang turut dalam membantu kempen pilihanraya di Kuala Terengganu termasuklah Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Yunus Kurus, Ketua Wanita, Pn. Hjh Aini Safar, dan beberapa orang lagi dari UMNO Bahagian.

Pejabat Parlimen Labuan juga dikatakan ada menghantar beberapa wakil ke Kuala Terengganu, yang dikepalai oleh YB Datuk Yussof Mahal sendiri. YB dikatakan membawa 11 orang pengikutnya membantu wakil BN berkempen di Kuala Terengganu.

Sungguhpun ini tidak pernah berlaku pada sejarah Labuan, UMNO dan Pejabat Parlimen masing-masing bergerak secara sendirian membantu wakil BN berkempen dalam pilihanraya kecil, diharap, kesemua wakil kita di sana dapat bekerjasama membantu calon BN dalam usaha memenangi semula kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang telah dikosongkan. 

01 Januari 2009

Berita Baik Dari PTPTN

Pembayaran pinjaman PTPTN minimum tidak lama lagi

01/01/2009 7:24pm

LABUAN 1 Jan. — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) akan membenarkan pembayaran balik pinjaman minimum sehingga RM50 kepada para peminjam, dalam usaha mendapatkan kembali wang pinjaman yang belum dijelaskan, yang kini menjangkau jutaan ringgit.

Selain membenarkan pembayaran minimum, PTPTN juga memutuskan untuk hanya mengenakan caj satu peratus yuran perkhidmatan mulai tahun ini, berbanding empat peratus pada tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman berkata, para peminjam itu perlu menghubungi pejabat PTPTN berhampiran terlebih dahulu, bagi mendaptkan maklumat berhubung perkara itu.

“Kelonggaran diberikan selepas kami mengambil kira peratus peminjam yang tidak membuat pembayaran balik pinjaman mereka, yang kini menjangkau 49 peratus,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri taklimat oleh pegawai di Jabatan Pelajaran Labuan di sini.

Menurutnya, PTPTN memperuntukkan RM3.4 bilion setiap tahun untuk pinjaman pendidikan.
Beliau seterusnya menggesa para ibu bapa membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi anak-anak mereka yang sedang belajar di kolej serta yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi memudahkan mereka mendapat kelulusan untuk pinjaman PTPTN. - Bernama

-

Keterangan dari Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, Pengerusi PTPTN ketika berada di Labuan. Dipetik dari Bernama melalui Utusan Online, 1 Januari 2009. Ini merupakan berita baik kepada penuntut-penuntut (dan bekas penuntut yang masih berhutang) di IPTA/IPTS dari Labuan yang melanjutkan pelajaran melalui skim pinjaman PTPTN.