Kategori

Memaparkan catatan dengan label Snippet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Snippet. Papar semua catatan

01 Januari 2010

Warna Warni Labuan Sepanjang 2009

19 Jan - Isu Pasar Babi menjadi bualan apabila para peniaga daging babi enggan berpindah ke tempat baru di Sungai Keling, sebaliknya mereka beroperasi ditempat terbuka tanpa permit.

1 Feb - Pergerakan Pemuda UMNO Labuan menganjurkan Kejohanan Futsal sempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Kejohanan tersebut dimenangi oleh Pasukan Rancha-Rancha Laut.

16 Feb - Ketidaksefahaman antara Ahli Parlimen Labuan dan ketua-ketua kampung mengorak langkah baru apabila Pejabat Ahli Parlimen Labuan membuat lantikan Wakil Ahli Parlimen (WAP) disetiap kampung-kampung. Ahli Parlimen Labuan menegaskan bahawa WAP bukanlah untuk mengambilalih peranan ketua-ketua kampung, hanya untuk mempermudahkan warga kampung mengajukan permasalahan kepada Pejabat Ahli Parlimen. Perbadanan Labuan bagaimanapun sehingga kini tidak mengiktiraf perlantilan WAP disetiap kampung-kampung

4 Mac - Perdana Menteri Malaysia ke 5, Tun Abdullah Ahmad Badawi melawat Labuan, diiringi oleh Menteri Wilayah ketika itu, Dato' Seri Zulhasnan Rafique. Tun Abdullah memberi jaminan bahawa pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan Sabah akan dimasukkan dalam RMK 10.

9 Apr - Selepas menjadi Perdana Menteri, Dato Seri Najib merombak kabinet, menyaksikan penyingkiran Dato' Seri Zulhasnan Rafique sebagai Menteri Wilayah dan digantikan dengan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal. Kementerian Wilayah Persekutuan kemudiannya bertambah portfolio dan dijadikan sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB).

14 Apr - Mantan Ahli Parlimen Labuan merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman dihadapkan ke mahkamah 2 hari berturut-turut atas pertuduhan menipu bank menggunakan kad pengenalan palsu. Beliau yang dijangka dilantik semula sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan tidak dapat dilantik semula atas pendakwaan mahkamah yang dibuat terhadapnya, malah Setiausaha Agung mengeluarkan surat kepada UMNO Bahagian menggugurkan jawatan beliau sebagai Ketua Bahagian UMNO dengan serta merta.

9 Mei - MKT UMNO setelah bermesyuarat menarik semula pengguguran jawatan Ketua Bahagian Dato Suhaili, beliau sebaliknya hanya digantung sementara, dan penggantungan beliau akan ditimbang semula selepas beliau habis dibicarakan pada Febuari 2010 ini.

14 Mei - Labuan digemparkan dengan kes kebakaran besar yang menimpa Kampung Muslim. Kes kebakaran tersebut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Menteri Wilayah Persekutuan dan UNESCO.

31 Mei - Dato Ahmad Phesal Talib dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan selama setahun, menggantikan Dato Suhaili Abdul Rahman.

2 Jul - Pengarah LOFSA, Datuk Azizan Abdul Rahman disambung kontrak selama 2 tahun

26 Jul - Labuan mencatatkan kes Influenza A H1N1 yang pertama.

30 Jul - Yang Dipertuan Agong, DYMM SPB Tuanku Mizan Zainal Abidin membuat lawatan rasmi ke Labuan.

4 Ogo - Tiga Sekolah ditutup selama seminggu bagi menghalang penularan wabak Influenza A H1N1, setelah beberapa pelajar didapati positif mengidap wabak tersebut.

31 Ogo - Labuan Kini menyambut ulangtahun yang pertama!

4 Sep - Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Setiausaha Kementeriannya membuat lawatan kerja ke Labuan. Antara isu yang dibincangkan termasuklah masalah air dan isu pembangunan di Labuan.

30 Sep - Ahli Parlimen membuat Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Serbaguna. Majlis tersebut disambut meriah, walaupun ketika itu hujan lebat.

13 Okt - Menurut kajian yang dibuat Majlis Tindakan Pelancongan Labuan, kemasukan pelancong ke Labuan meningkat sebanyak 8.4 peratus.

25 Okt - Perdana Menteri Malaysia membentangkan Bajet 2010 di Parlimen. Labuan kali ini tercicir dari bajet, tanpa sebarang peruntukan khas.

2 Nov - UMNO Labuan membuat mesyuarat tergempar apabila Ketua Pemuda UMNO Labuan membuat gesaan agar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dipindahkan serta merta dari Labuan. UMNO Bahagian Labuan membuat pendirian membantah usul tersebut, dengan disokong oleh Pergerakan Wanita UMNO, Puteri UMNO dan Jawatankuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung Labuan.

15 Nov - Kelab Motorsikan Berkuasa Besar Labuan, LA Riders akhirnya mengesahkan bahawa temasya BIIBBF ke-10 akan dibuat di Labuan.

17 Nov - Naib Ketua Pemuda UMNO Labuan bersama 8 lagi Ketua-ketua Pemuda UMNO cawangan mengadakan perjumpaan dengan KPE Perbadanan Labuan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu-isu yang timbul sehingga menyebabkan beliau didesak oleh Ketua Pemuda Labuan agar dipindah serta merta dari Labuan.

29 Nov - Labuan menghantar kontijen ke Negara Brunei Darussalam sempena Temasya Sukan Borneo

18 Dis - Labuan menjadi tuan rumah temasya 'Borneo Island International Big Bikers Festival' (BIIBBF) yang ke-10. Temasya tersebut dianjurkan selama 3 hari.

29 Dis - Menteri Wilayah Persekutuan membuat 'jaminan baru' mengenai Jambatan Labuan bahawa ianya hanya akan dibina jika satu kajian dibuat dan mendapati ianya berdaya maju.

31 Dis - Pertandingan Karaoke Rakyat dianjurkan di tapak letak kereta Arena Bowling Padang sempena sambutan Tahun Baru 2010.


30 Disember 2009

Snippet Disember 2009

Berikut adalah antara bahan-bahan yang sepatutnya dipos pada bulan ini, tapi tidak dapat dibuat kerana saya bercuti panjang sepanjang bulan...

- Perbadanan Labuan membuktikan yang pembinaan Arena Bowling Padang di hadapan Kompleks Sukan Air tidak sia-sia apabila kontijen Labuan meraih pingat dalam acara tersebut pada Festival Sukan Borneo yang diadakan di Brunei Darussalam, hujung November lepas.

- Perbadanan Labuan menganjurkan satu pertandingan golf bersempena dengan Program Malaysia Diperbadankan (Malaysia Inc.). Pertandingan golf tersebut disertai oleh badan-badan kerajaan, GLC, NGO dan syarikat-syarikat swasta.

- BIIBBF ke-10 berjaya dijalankan di Labuan. Acara tersebut dihoskan oleh LA Riders, dengan kerjasama En. Rafi (Ketua Pemuda UMNO Labuan) dan dengan sokongan Perbadanan Labuan, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Labuan, Majlis Tindakan Pelancongan Labuan dan para 'riders' Labuan.

- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terpaksa membuat catuan bekalan elektrik seluruh Sabah, bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Stesen Janakuasa Patau-Patau, Labuan.

- Sistem Kewangan Islam di Labuan dijamin dan mendapat kelulusan dari Majlis Syariah.

- Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) membuat gesaan agar Ahli Parlimen Labuan lebih serius menangani masalah air yang berlarutan di Labuan. Gesaan itu dinyatakan dalam laman blog Mahasiswakini.

- Setelah sekian lama diutarakan oleh penduduk Labuan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik akhirnya membuat kenyataan bahawa jambatan yang menghubungkan antara Labuan dan Sabah hanya akan dibuat jika kajian mendapati ianya berdaya maju.

- Kanun Tanah Negara akan mula digunapakai di Labuan mulai Januari 2010.

- RM10 juta diperuntukkan untuk mengatasi masalah setinggan di Labuan.

- Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mensasarkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar sifar pada 2010, menurut menterinya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal.

- Laman blog labuankini.net kini berstatus 'one man show', dimana kini hanya tinggal satu editor sahaja yang menguruskan laman blog ini.

Insya Allah, esok akan disiarkan lagi isu-isu yang pernah menghangatkan pulau Labuan sepanjang 2009.

07 April 2009

Snippet

Sedikit update mengenai perkembangan politik negara, yang secara tidak langsung akan mempengaruhi dunia politik Labuan.

- Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rasminya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Isnin lepas, selepas menerima watikah perlantikan dan mengangkat sumpah dihadapan Yang DiPertuan Agong, 3 April lepas.

- PM masih belum mengumumkan sebarang rombakan kabinet, atau melantik kabinet baru, namun dianggap kabinet Datuk Seri Najib dijangka lebih kecil berbanding sekarang. Kabinet sekarang mempunyai 27 Kementerian, dan 29 Menteri. Kabinet yang baru dijangka hanya mengadakan 24 - 25 Kementerian sahaja. Jika saiz kementerian dikecilkan, ianya berkemungkinan akan membabitkan pemansuhan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi, KWP diwujudkan semula oleh mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan PM, dan KPT adalah pecahan daripada Kementerian Pendidikan yang ditukarkan semula menjadi Kementerian Pelajaran.

- Selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dicabar pula dengan 3 pilihanraya kecil, membabitkan Batang Air, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. PM dilihat sibuk dan sukar untuk diganggu, memandangkan jawatan yang baru dipegangnya dan pilihanraya kecil yang dihadapi.

- Ini juga membawa kepada penangguhan perlantikan Pengerusi Perbadanan Labuan yang baru, memandangkan kontrak Pengerusi PL sekarang ini telah tamat pada 31 Mac lepas. Spekulasi mengenai siapa yang akan dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Labuan menjadi perbualan kedai kopi sekitar pulau Labuan. Ada yang menjangkakan YB Datuk Yussof Mahal akan dilantik menjadi Pengerusi PL yang baru, ada yang menjangkakan kontrak Dato Suhaili akan disambung semula dan ada pula menjangkakan muka baru dari semenanjung akan diberi jawatan tersebut.

- Menurut sumber-sumber yang LabuanKini terima, calon untuk Pengerusi Perbadanan Labuan sudah dikenalpasti oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, dan perlantikan beliau sudah direstui sejak awal lagi, ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. Kini hanya menunggu surat lantikan dan kelulusan dari Perdana Menteri yang baru. Bagaimanapun, siapa yang dicalonkan masih kurang jelas.