29 April 2009

Kelab Rakan Muda Sarawak Di Labuan


Kelab Rakan Muda Kawasan Parlimen P221 Limbang dan P222 Lawas kini berada di Labuan sejak kelmarin, membawa remaja-remaja yang terpilih untuk aktiviti Perkhemahan Anugerah Remaja Perdana dalam aktiviti kem bina diri anjuran Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Limbang dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan.

Mereka yang dijangka akan berada di Labuan sehingga 30 April ini dilihat berkhemah di tepi pantai Pancur Hitam, Pohon Batu. Sepanjang berada di Labuan, banyak aktiviti-aktiviti dibuat antaranya kem jati diri, hiking, dan barbecue pada sebelah malam. Mereka juga dijangka akan mengadakan perlawanan Paintball sesama sendiri pagi esok, di Pusat Paintball, Kg. Pantai.

Tinjauan LabuanKini di Pancur Hitam kelmarin menyaksikan beberapa pegawai dari Belia Labuan turun padang memberikan bantuan.

Sambutan Pesta Sukan Air & Sambutan Jubli Perak Dingin?

Tengahari tadi LabuanKini ada membuat tinjauan di semua laluan masuk ke Labuan. Apa yang menghairankan agak ramai warga Labuan cuba untuk meninggalkan Labuan mulai Khamis ini. Feri kenderaan penuh ditempah, tiket penerbangan juga habis terjual, dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan juga sesak dengan kelibat orang yang berpusu-pusu meninggalkan Labuan.

LabuanKini sempat bertanya beberapa orang yang berbaris cuba untuk mendapatkan tiket feri kenderaan di kaunter tiket Labuan Feri, antara sebab ramai yang cuba untuk keluar dari Labuan adalah untuk mengunjungi sanak saudara di tanah besar Sabah, tambahan pula Jumaat ini cuti umum. Satu faktor lagi yang menyumbang kearah perkembangan ini ialah Pesta Sabah yang kebetulan juga disambut pada 2 hingga 11 Mei di Kota Kinabalu.

LabuanKini juga sebelum ini ada dimaklumkan bahawa bajet untuk sambutan Pesta Sukan Air tahun ini agak kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya. ianya cuma nampak besar kerana digabungkan dengan sambutan Jubli Perak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan.

Sambutan Pesta Sukan Air dan Jubli Perak kali ini akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

24 April 2009

PEMODA Ke Labuan - Mana LA Riders?

Persatuan motorsikal berkuasa besar dari Brunei Darussalam, PEMODA kini berada di Labuan dalam rangkaian "PEMODA Labuan Kota Kinabalu Ride".

Kelibat motor-motor besar dari Brunei ini dapat dilihat berkeliaran secara berkumpulan di sekitar bandar Labuan dan merentasi kampung-kampung. Sebelah petang tadi mereka dilihat berada di pusat Paintball, yang terletak di Durian Tunjung.

Kunjungan rakan LabuanKini ke pusat paintball tersebut menyaksikan mereka sedang berentap berperang sesama sendiri di arena paintball. Namun amat dikesalkan tiada wakil dari LA Riders ada kelihatan melayan mereka sepanjang berada di pusat paintball. Seorang ahli PEMODA ada menyatakan sepatutnya acara paintball ini adalah perlawanan antara PEMODA dan LA Riders, memandang tiada satu pun dari LA Riders yang kelihatan, maka mereka terpaksa berlawan sesama sendiri.

PEMODA menyatakan bahawa kehadiran mereka ke Labuan telah awal dimaklumkan kepada LA Riders. Jadual serta senarai acara juga ada dimaklumkan.




Mesyuarat MKT UMNO Pertama - Penentu Nasib Dato Suhaili


Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dijangka akan diadakan pada hari ini (Jumaat). Antara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuklah melantik jawatankuasa lantikan, ketua perhubungan UMNO negeri, ahli majlis tertinggi dilantik dan membincangkan isu-isu yang memerlukan keputusan majlis tertinggi.

Kes Dato Suhaili yang digugurkan jawatan Ketua Bahagian UMNO Labuan oleh Setiausaha Agung, Tengku Adnan Mansur juga dijangka akan dibincangkan didalam mesyuarat tersebut. Sebelum ini Dato Suhaili dinasihatkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemukakan rayuan kepada UMNO pusat.

Dato Suhaili sebelum ini menyatakan pengguguran beliau adalah tidak sah, kerana tidak mendapat 'restu' daripada majlis tertinggi, sebaliknya tindakan pengguguran beliau adalah tindakan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO secara solo, tanpa membuat rujukan ke majlis tertinggi. Beliau bagaimanapun ada membuat rayuan ke UMNO pusat seperti dinasihatkan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin.

Untuk rekod, Ketua Bahagian UMNO Kubang Kerian, Fauzi Ismail pernah digantung jawatannya kerana mempunyai kes mahkamah. Bagaimanapun beliau hanya digantung, dan bukan digugurkan daripada jawatan. Beliau dibebaskan daripada pertuduhan pada Januari 2008, yang kemudiannya memohon kepada UMNO pusat supaya penggantungan jawatannya dibatalkan.

23 April 2009

Blog Majlis Belia labuan - Yang Mana Satu?

Ketika mengemaskini senarai blog-blog yang diikuti, pihak LabuanKini mendapati blog Majlis Belia Labuan, yang sebelum ini dipromosikan di LabuanKini tidak lagi dapat diakses.

Cubaan LabuanKini mencari jika ada laman-laman blog Majlis Belia Labuan yang lain mendapati ada tiga blog yang menggunakan nama Majlis Belia Labuan. Ketiga-tiga alamat tersebut adalah;

labuanyouth.blogspot.com
mbwpl.blogspot.com
majlisbelialabuan.blogspot.com

Mengikut pemerhatian LabuanKini, labuanyouth tidak dapat diakses, melainkan dijemput, majlisbelialabuan kali terakhir dikemaskini pada 2008 dan mbwpl dikemaskini pada Februari 2009.

Untuk tujuan Promosi, ada baiknya Majlis Belia Labuan menghubungi LabuanKini menyatakan yang mana satukah laman blog rasmi MBL, supaya senang pihak LabuanKini membuat pautan.

20 April 2009

Perbadanan Labuan - Siapa Pengerusi Baru?

Siang tadi kelihatan beberapa pegawai-pegawai Perbadanan Labuan mengunjungi kediaman Dato Suhaili untuk menyelesaikan beberapa perkara. Turut hadir juga pegawai-pegawai pentadbir Terminal Ferri Labuan.

Dalam perjumpaan tersebut, Dato Suhaili menasihatkan supaya pegawai-pegawai tersebut meneruskan khidmat masing-masin dengan cemerlang, seperti sediakala. Beliau juga menegaskan jika beliau tidak dilantik semula, berkemungkinan Menteri Wilayah Persekutuan akan memangku jawatan tersebut, sebelum perlantikan Pengerusi baru dibuat. Dan jika ada lantikan baru, berkemungkinan juga penjawat awan bertaraf senior akan dilantik, seperti bekas SUK atau yang sama taraf dengannya.

Sebelum ini, LabuanKini ada dikhabarkan bahawa satu memorandum ada dihantar ke Kementerian Wilayah, mengenai calon-calon yang dikatakan layak mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan. Antara yang tersenarai termasuklah YB Datuk Yussof Mahal, Datuk Mulok Awg Damit, En Bungso Mohamad dan En Sudin (Setiausaha Sulit Datuk Yussof Mahal).

16 April 2009

3 Hari Berturut-turut

Selepas dihadapkan ke Mahkamah petang Isnin dan pagi Selasa, Dato Suhaili kelmarin dikatakan menerima surat daripada Setiausaha Agung UMNO yang menyatakan bahawa beliau telah dilucutkan jawatan Ketua Bahagian UMNO Labuan.

Perkara tersebut dikatakan agak luar biasa dan menganggap Setiausaha Agung UMNO dilihat bertindak secara 'sendiri' kerana secara kebiasaannya perlucutan jawatan atau perlucutan ahli hendaklah dibincangkan dimesyuarat Majlis Tertinggi UMNO terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Tindakan Setiausaha Agung itu yang beralasan keputusan itu dibuat atas mengambilkira Dato Suhaili mempunyai dua pertuduhan mahkamah juga dilihat seperti tindakan super express dan tidak memberi peluang kepada Ketua Bahagian UMNO Labuan memberi penjelasan.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini juga pernah bertindak membelakangi Majlis Tertinggi UMNO dengan membatalkan beberapa mesyuarat cawangan-cawangan UMNO Labuan tahun lepas, yang kemudiannya diabaikan oleh UMNO Bahagian Labuan atas arahan Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

14 April 2009

Satu Lagi Pertuduhan Dibuat Hari Ini



Seperti diramalkan, satu lagi pertuduhan dibuat terhadap mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman pagi ini. Pertuduhan tersebut bagaimanapun disebut di Mahkamah Majistret. Pihak pendakwaraya memohon agar kes tersebut dapat dibicarakan di Mahkamah Sesyen, serentak dengan kes yang disebut kelmarin, memandangkan pihak pendakwaraya akan mengemukakan barisan saksi-saksi yang sama untuk kedua-dua kes. Permohonan tersebut diluluskan oleh Majistret Noor Hafizah Mohd. Salim.

Seperti kelmarin, Dato Suhaili dilihat tenang dan ceria bila keluar dari perkarangan mahkamah. Beliau juga dilihat diiringi oleh beberapa sahabat beliau dari Labuan yang tiba malam semalam untuk memberi sokongan moral.

Isu 2 IC - Konspirasi Politik

Dato Suhaili hari ini dihadapkan ke mahkamah sesyen di Kota Kinabalu atas pertuduhan memperdaya Maybank untuk meluluskan pinjaman bernilai RM110 ribu dan kemudahan OD bernilai RM50 ribu dengan menggunakan kad pengenalan lain, 13 tahun lepas.

Beliau bagaimanapun ketika ditanya wartawan ini berkemungkinan satu konspirasi untuk menjatuhkan beliau, kerana pertuduhan hanya dikeluarkan pada malam Ahad, ketika beliau hampir pasti dilantik semula memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan. ' Ianya tidak masuk akal kenapa kes ini dibawa oleh SPRM dan bukannya Polis, atau Jabatan Pendaftaran atau pihak Maybank sendiri sedangkan ianya tidak membabitkan salah guna kuasa atau rasuah' kata seorang teman beliau yang turut sama berada di Mahkamah Sesyen.

Dato Suhaili pula ketika ditanya mengenainya, beliau berkata dia tidak perlu takut atau malu kerana beliau tiada skandal seks, mempunyai projek terbengkalai, kes rasuah atau salahguna kuasa. Ketika ditemubual oleh wartawan, beliau masih kelihatan ceria dan sempat mengusik para wartawan mengenai kes ini akan jadi front page story, esok.

Beliau bagaimanapun tidak mengaku bersalah, dan diarahkan diikat jamin RM20 ribu, dengan RM3 ribu deposit dan seorang penjamin. Perbicaraan dijangka akan dibuat pada Februari 2010.

Satu lagi kes yang membabitkan beliau akan di hadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi ini.

Perkara yang sama juga berlaku pada tahun lepas apabila beliau disiasat oleh BPR mengenai isu 2 IC, ketika PRU ke 12 hampir tiba

09 April 2009

Kementerian Kekal, Menteri Berubah, Timbalan Kekal

Warga Wilayah Persekutuan hari ini dikejutkan dengan pengumuman jemaah kabinet baru apabila Menteri Wilayah, Dato Seri Zulhasnan tidak tersenarai. Timbalan beliau, Datuk M Saravanan walaubagaimanapun dikekalkan.

Ura-ura yang mengatakan KWP akan dibubarkan, dan diserapkan semula ke Jabatan Perdana Menteri seperti sediakala tidak tepat sama sekali. Penggabungan Kementerian Wilayah dan Kerajaan Tempatan juga sekadar khabar angin sahaja.

Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin adalah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, dilantik menjadi Senator petang ini untuk membolehkan beliau memegang jawatan menteri.

Kabinet Baru - Ada Wakil Dari Labuan?

Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak kelmarin membatalkan hasratnya untuk mengumumkan barisan Kabinet beliau yang baru, dan dijangka akan membuat pengumuman mengenainya pada jam 3 petang hari ini.

Antara perkara-perkara yang dijangka dilakukan oleh PM termasuklah menggugurkan beberapa muka lama, terutama mereka yang kalah pada pemilihan parti masing-masing, mengecilkan saiz kabinet dengan menggabungkan beberapa kementerian menjadi satu, mewujudkan semula jawatan setiausaha parlimen kementerian, dan menukar portfolio beberapa menteri yang sedia ada.

Labuan tidak pernah mendapat tempat dalam kabinet, sejak merdeka lagi. Mungkinkan kali ini akan ada wakil dari Labuan didalam Kabinet baru, sama ada menteri penuh, timbalan menteri atau setiausaha parlimen.

Apa yang pasti, ketika ini ramai pemimpin-pemimpin dari Labuan sedang berkampung di Kuala Lumpur, ini termasuklah Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Yussof Mahal, Ketua UMNO Bahagian, Dato Suhaili Abdul Rahman, dan beberapa pemimpin parti Komponen BN yang lain. Namun tidak dapat dipastikan sebab mereka berkampung di KL ada kaitan dengan pengumuman barisan kabinet baru, esok.

07 April 2009

Snippet

Sedikit update mengenai perkembangan politik negara, yang secara tidak langsung akan mempengaruhi dunia politik Labuan.

- Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rasminya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Isnin lepas, selepas menerima watikah perlantikan dan mengangkat sumpah dihadapan Yang DiPertuan Agong, 3 April lepas.

- PM masih belum mengumumkan sebarang rombakan kabinet, atau melantik kabinet baru, namun dianggap kabinet Datuk Seri Najib dijangka lebih kecil berbanding sekarang. Kabinet sekarang mempunyai 27 Kementerian, dan 29 Menteri. Kabinet yang baru dijangka hanya mengadakan 24 - 25 Kementerian sahaja. Jika saiz kementerian dikecilkan, ianya berkemungkinan akan membabitkan pemansuhan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi, KWP diwujudkan semula oleh mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan PM, dan KPT adalah pecahan daripada Kementerian Pendidikan yang ditukarkan semula menjadi Kementerian Pelajaran.

- Selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dicabar pula dengan 3 pilihanraya kecil, membabitkan Batang Air, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. PM dilihat sibuk dan sukar untuk diganggu, memandangkan jawatan yang baru dipegangnya dan pilihanraya kecil yang dihadapi.

- Ini juga membawa kepada penangguhan perlantikan Pengerusi Perbadanan Labuan yang baru, memandangkan kontrak Pengerusi PL sekarang ini telah tamat pada 31 Mac lepas. Spekulasi mengenai siapa yang akan dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Labuan menjadi perbualan kedai kopi sekitar pulau Labuan. Ada yang menjangkakan YB Datuk Yussof Mahal akan dilantik menjadi Pengerusi PL yang baru, ada yang menjangkakan kontrak Dato Suhaili akan disambung semula dan ada pula menjangkakan muka baru dari semenanjung akan diberi jawatan tersebut.

- Menurut sumber-sumber yang LabuanKini terima, calon untuk Pengerusi Perbadanan Labuan sudah dikenalpasti oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, dan perlantikan beliau sudah direstui sejak awal lagi, ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. Kini hanya menunggu surat lantikan dan kelulusan dari Perdana Menteri yang baru. Bagaimanapun, siapa yang dicalonkan masih kurang jelas.