09 Mac 2010

Kes Mahkamah Dato Suhaili - Tangguh Lagi?

Saya difahamkan ketika ini majoriti ketua-ketua kampung Labuan kini berada di Kota Kinabalu untuk memberi sokongan moral kepada mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato Suhaili Abdul Rahman berhubung kes mahkamah beliau yang dijadualkan akan dibicarakan pada hari ini (Isnin).

Menurut laporan yang saya terima, perbicaraan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada jam 9 pagi tadi terpaksa ditunda ke waktu tengahari kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dijangka membuat lawatan rasmi ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Perbicaraan tersebut kemudiannya ditangguhkan lagi dan dijadualkan akan dibicarakan pada keesokan harinya.

Perbicaraan kes ini adalah penentu buat Dato Suhaili, sama ada kekal menjadi Ketua Bahagian UMNO Labuan atau tidak. Jawatan beliau sebagai Ketua Bahagian digantung sementara menunggu keputusan mahkamah, sama ada beliau bersalah atau tidak.

Menurut satu sumber yang saya terima lagi, pertuduhan terhadap Dato Suhaili mungkin akan diubah esok oleh pihak pendakwaraya. Kesahihan laporan ini, dan alasan atas perubahan pertuduhan terhadap beliau hanya akan diketahui esok pagi.

Jika benar pertuduhan terhadap beliau diubah disaat-saat akhir, ini merupakan tamparan hebat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selaku pendakwa dalam kes ini. Kes Dato Suhaili yang sepatutnya dibicarakan pada pertengahan Februari lepas ditangguhkan atas permintaan SPRM, dan pada 24 Februari pula, pihak SPRM mengesahkan pendakwaan terhadap Dato Suhaili kekal dan akan dibicarakan pada 8 Mac ini (secara kebetulan, sama dengan tarikh PRU ke-12 lepas, 8 Mac 2008).

Jika pertuduhan sebelum ini diubah disaat-saat akhir, orang mula membayangkan SPRM 'mengheret' kes-kes berprofil tinggi seperti ini kemahkamah tanpa kaji selidik, usul periksa terlebih dahulu, sama ada kukuh atau tidak. Dakwaan Dato Suhaili pada tahun lepas kononnya ada 'pihak' yang cuba mensabotaj beliau ketika kontrak beliau sebagai Pengerusi Perbadanan hampir disambung semula pada Mac tahun lepas mungkin ada betulnya. Apa-apapun, saya akan cuba membuat laporan susulan selepas pagi esok, perkembangan terkini mengenai Kes Dato Suhaili.

Tiada ulasan: