Polis Marin tumpas seludup rokok, arak RM 2juta
MENUMBOK 19 Jan. - Polis Marin di sini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai RM2 juta di Kuala Sungai Kampung Tananak dekat sini malam semalam.
Dalam operasi pada pukul 9 malam itu, sepasukan anggota polis yang melakukan penyamaran menahan sembilan buah bot yang terkandas ketika air surut di kuala sungai itu.
Ketua Polis Marin Sabah, Asisten Komisioner Abdul Manaf Othman berkata, sebaik sahaja ditahan, pasukan itu menemui sejumlah 1,100 unit minuman keras dan 36,700 bungkus rokok pelbagai jenama di dalam bot berkenaan.
Katanya, operasi diketuai Asisten Supritendan Fauzi Ibrahim bersama 30 anggota itu turut menahan dua lelaki rakyat tempatan berusia 18 dan 20 tahun.
"Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam bot berkenaan. Bagaimanapun, beberapa ahli sindiket itu sempat melarikan diri.
"Polis kemudian merampas sembilan buah bot itu dan 29 enjin sangkut yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan tersebut," katanya ketika ditemui di Jeti Menumbok, semalam.
Menurut Abdul Manaf, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenai sindiket penyeludupan itu termasuk mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan penyeludupan barang larangan berkenaan.
Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM2 juta, bagaimanapun ia tidak termasuk cukai Kastam Diraja Malaysia.
Kata beliau, kesemua rampasan itu dibawa ke Jeti Menumbok untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, rampasan minuman keras dan rokok itu merupakan yang terbesar awal tahun ini sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan