144 NELAYAN TEMPATAN TERIMA ELAUN SARA HIDUP RM200 SEBULAN
LABUAN: Seramai 144 daripada 525 nelayan tempatan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini menikmati elaun sara hidup sebanyak RM200.00 sebulan sejak Jun tahun lalu.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan, Mohd. Khir Mohd. Sham berkata, pembayaran itu melibatkan peruntukan sebanyak RM28,800 sebulan.
Bagaimanapun katanya, jumlah itu dijangka meningkat pada Febuari ini apabila seramai 175 nelayan lagi diluluskan lesen mereka, manakala 206 nelayan lagi sedang menunggu kelulusan.
“Selain itu, seramai 262 nelayan turut menerima bayaran insentif sejak September lalu sebanyak RM0.10 sen bagi setiap kilo ikan yang di daratkan mengikut zon yang ditetapkan” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Hari Bertemu Pelanggan LKIM yang diadakan di Taman Pertanian Kilan dekat sini, pagi kelmarin.
Sementara itu katanya, seramai 178 nelayan layak menerima subsidi minyak kad e-petrol dan 88 yang lain menerima sudsidi kad e-diesel.
Menyentuh mengenai program Hari Bertemu Pelanggan, Mohd Khir berkata ia bertujuan untuk memberi maklum balas kepada nelayan mengenai isu-isu berkaitan dengan tugas dan tanggung jawab LKIM.
“ Selain itu kita juga memberikan penjelasan mengenai isu-isu subsidi minyak, elaun sara hidup dan insentif yang layak diterima oleh para nelayan yang berdaftar atau berlesen” katanya.
Katanya program yang julung kalinya diadakan ini turut disertai oleh beberapa agensi yang berkait rapat dengan aktiviti nelayan seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Malaysia Deepwater Production Contraktor Sdn. Bhd. (MDPPCSB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan