Sedikit update mengenai perkembangan politik negara, yang secara tidak langsung akan mempengaruhi dunia politik Labuan.
- Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rasminya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Isnin lepas, selepas menerima watikah perlantikan dan mengangkat sumpah dihadapan Yang DiPertuan Agong, 3 April lepas.
- PM masih belum mengumumkan sebarang rombakan kabinet, atau melantik kabinet baru, namun dianggap kabinet Datuk Seri Najib dijangka lebih kecil berbanding sekarang. Kabinet sekarang mempunyai 27 Kementerian, dan 29 Menteri. Kabinet yang baru dijangka hanya mengadakan 24 - 25 Kementerian sahaja. Jika saiz kementerian dikecilkan, ianya berkemungkinan akan membabitkan pemansuhan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi, KWP diwujudkan semula oleh mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan PM, dan KPT adalah pecahan daripada Kementerian Pendidikan yang ditukarkan semula menjadi Kementerian Pelajaran.
- Selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dicabar pula dengan 3 pilihanraya kecil, membabitkan Batang Air, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. PM dilihat sibuk dan sukar untuk diganggu, memandangkan jawatan yang baru dipegangnya dan pilihanraya kecil yang dihadapi.
- Ini juga membawa kepada penangguhan perlantikan Pengerusi Perbadanan Labuan yang baru, memandangkan kontrak Pengerusi PL sekarang ini telah tamat pada 31 Mac lepas. Spekulasi mengenai siapa yang akan dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Labuan menjadi perbualan kedai kopi sekitar pulau Labuan. Ada yang menjangkakan YB Datuk Yussof Mahal akan dilantik menjadi Pengerusi PL yang baru, ada yang menjangkakan kontrak Dato Suhaili akan disambung semula dan ada pula menjangkakan muka baru dari semenanjung akan diberi jawatan tersebut.
- Menurut sumber-sumber yang LabuanKini terima, calon untuk Pengerusi Perbadanan Labuan sudah dikenalpasti oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, dan perlantikan beliau sudah direstui sejak awal lagi, ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. Kini hanya menunggu surat lantikan dan kelulusan dari Perdana Menteri yang baru. Bagaimanapun, siapa yang dicalonkan masih kurang jelas.