06 Julai 2009

Lagi Mengenai Isu Bola

Petikan dari New Sabah Times, 6 Julai 2009

Tiga penyokong bola sepak ditahan kerana merusuh

6th July, 2009

LABUAN: Tiga penyokong bolasepak tempatan ditahan reman selama tiga hari kerana disyaki terlibat merusuh ke dalam stadium sehingga menyebabkan seorang pengadil mengalami kecederaan semasa mengadili satu perlawanan bolasepak yang diadakan di Stadium Kompleks Sukan Labuan, dekat sini baru-baru ini.

Turut cedera dalam rusuhan kira-kira jam 9 malam pada 23 Jun lalu itu ialah seorang anggota polis ketika meleraikan pergaduhan antara penyokong dengan pengadil perlawanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Zakaria Yussof berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian tersebut.

Katanya lagi, ketiga-tiga penyokong itu ditahan mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

“Kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis…bagaimanapun polis masih lagi menjalankan siasatan termasuk mencari beberapa suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pergaduhan yang membabitkan rusuhan antara penyokong dan pemain perlawanan separuh akhir bolasepak antara pasukan Bebuloh FC dengan Sungai Labu FC bagi merebut Piala Komuniti anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan dan Pejabat Ahli Parlimen.

Zakaria ditemui pada Program PDRM Bersama Rakyat Mencegah Jenayah yang diadakan di Kampung Lajau, pada Sabtu anjuran bersama JKK Kampung Lajau dan PDRM Labuan.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Kampung Lajau, Haji Sudin Omar dan beberapa pegawai kanan PDRM Labuan yang sama-sama menjayakan program tersebut.

Tiada ulasan: