10 Mac 2010

Empat Muka Baru Ahli Majlis PL

Petikan dari New Sabah Times 9 Mac 2010

LABUAN: Empat muka baru merupakan enam yang dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan (PL) untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010 hingga 31 Disember 2011.

Empat muka baru yang dilantik oleh Kementerian Wilayah Persekutuan itu ialah Yang Di Pertua Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mohammad, Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Chin Cee Kee, Pengerusi Majlis Pengguna Wilayah Persekutuan Labuan, Hajah Fauziah Datuk Mohd Din dan Ketua Bahagian Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) cawangan Labuan, Ronald James Majing.

Sementara itu, dua muka lama yang dikekalkan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base (ASB) Labuan, Dato’ Harris Haji Annuar Tan dan Pengerusi Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Labuan, Dr Harun Pudin.

Senarai perlantikan baru Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan diumumkan dalam satu kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah dan Kesahjeteraan Bandar yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Ahmad Phesal Talip, pada Isnin.

Kenyataan empat perenggan itu turut menyebut Pemangku Ketua Umno Bahangian Labuan, Datuk Haji Yunus Haji Kurus telah dilantik semula sebagai Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkuatkuasa pada 21 Oktober 2009 lalu sehingga 9 Oktober 2011.

Empat muka lama yang tidak dilantik semula ialah Presiden Syarikat Kumpulan Isro, Datuk Haji Isli Siput, Ketua Wanita Umno Bahagian Labuan, Aini Haji Safar, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan, Datuk Francis Tee dan Ketua Kampung Sungai Keling, Ronny Tan Beng Hian.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Haji Yunus Haji Kurus yang berada di ibu negara ketika dihubungi di sini kelmarin berkata, beliau berharap semua mereka yang diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi itu akan dapat bekerjasama dan mampu meneruskan aspirasi agenda kecermelangan pengurusan, pentadbiran Perbadanan Labuan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih dinamik, responsif, cekap dan berdaya saing selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan Labuan wilayah sebagai yang maju menjelang 2015.

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka dan berharap mereka dapat memberikan sumbangan yang berguna kepada rakyat Labuan dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: