23 Mac 2010

UMS KAL - RM18.3j Terlaksana

Petikan dari New Sabah Times, 22 Mac 2010.

UMS-KAL laksana 9 projek bernilai RM18.3 juta


LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) melaksanakan 9 buah projek bernilai RM18.3 juta untuk menaik taraf dan menambah pasarana kampus itu.

Timbalan Pendaftar kampus universiti itu, Kamisah Hussin berkata, kesemua projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, namun perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Kita telahpun mengenal pasti sembilan buah projek yang sebahagiannya telah pun kita laksanakan,” katanya kepada pemberita sempena Seminar Ulang tahun ke 10 UMS-KAL di sini baru-baru ini.

Katanya antara projek yang diberi keutamaan untuk dilaksanakan ialah projek bekalan air sejuk bernilai RM4.5 juta, menaik taraf kemudahan bekalan tenaga yang sering terputus di kampus ini.

“Kita telah peruntukan sebanyak RM600,000 kepada Syarikat SESB bagi meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf,” katanya.

Selain itu katanya, kompleks sukan UMS-KAL juga akan turut di naik taraf membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5juta serta dua lagi projek yang membabitkan penyertaan Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk membina makmal masing-masing untuk Sekolah Perniagaan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL) dan Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL) yang setiap satu bernilai RM1 juta.

Dalam perkembangan yang lain, Dr Shariff yang turut ditemui di majlis itu menjelaskan UMS-KAL telah menerima peruntukan kilat sebanyak RM500,000 bagi pemasangan lima buah pam dan 15 buah tangki bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang kritikal sejak tujuh bulan lalu sehingga mengundang tunjuk perasaan secara aman oleh pelajar berkenaan.

Menurut Shariff, semua pam dan tangki itu yang dipasang di blok kediaman pelajar dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

“Dengan siapnya pemasangan pam dan tangki itu akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di kampus itu,” katanya.

Tiada ulasan: