16 Mac 2010

Masalah Air - Makin Meruncing

Petikan dari New Sabah Times, 16 Mac 2010.


Simpanan air Labuan hanya mampu bertahan empat bulan


LABUAN: Penduduk Labuan bakal menghadapi masalah kekurangan air yang lebih kritikal apabila empangan untuk menyimpan air yang ada di pulau ini hanya mampu bertahan untuk tempoh empat bulan atau kurang daripada itu dari sekarang.
Masalah kemarau yang berpanjangan sejak November lalu menyebabkan dua dripada tiga empangan di sini membabitkan empangan Kerupang dan Sungai Miri kering.
Satu-satunya empangan yang masih mempunyai simpanan ialah empangan Bukit Kuda yang ketika ini mempunyai sekitar 75 peratus simpanan air yang mampu bertahan untuk tempoh empat bulan.
Demikian satu kenyataan yang diemailkan kepada New Sabah Times di sini oleh Pengerusi Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) cawangan Labuan, Derex Chan semasa menghadiri sesi dailog antara Jabatan Bekalan Air dengan persatuan itu yang dipengerusikan oleh Pengarah Air Labuan Sulaiman Kamiran bersama penduduk Taman Perumahan Bedaun yang yang diadakan baru-baru ini.
Bagaimanpun menurut kenyataan itu lagi, Sulaiman yang mengetetuai Jabatan Bekalan Air Labuan, berkata pihaknya telah pun memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tindakan segera telahpun diambil sebagai penyelesaian jangka pendek sementara menunggu projek paip dasar laut kedua dari Beaufort ke labuan yang bernilai RM365 juta siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Menurut Sulaiman, Labuan memerlukan bekalan air sekurang-kurangnya 56 hingga 60 juta liter sehari, berbanding hanya 42 juta liter air yang diterima setiap hari dan 80 peratus daripada jumlah itu datang dari Beaufort dan 20 peratus dari empangan yang ada di Labuan.
Sementara itu, kerajaan turut melantik Sime Darby untuk melaksanakan projek perigi tiub sejak Mei lalu dan berjaya menghasilkan bekalan air sehingga 3.5 juta liter setiap hari.
Dalam pada itu, Sulaiman juga dilaporkan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat kemarau yang berpanjangan itu ialah Kampung Belukut, Bebuloh Darat, Sungai Bedaun, Perumahan Taman Mutiara dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
Bagi menangani masalah yang melanda di kawasan-kawasan tersebut, Sulaiman memberitahu pihaknya telah mengunakan Ruman Pam Bukit Kalam untuk mengalihkan air ke Sungai Bedaun. Manakala satu lagi pam akan dibina di kawasan Sungai Kinabenuwa untuk menyalurkan air ke beberapa kawasan yang terjejas termasuk di Perumahan Taman Bedaun, Kampung Belukut dan juga Kampung Bebuloh Darat serta kawasan UMS-KAL.
Sementara itu, Sulaiman ketika berdailog dengan PPPM turut meminta pengguna supaya dapat berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran seperti mencuci kereta dan sebagainya.
Hadir sama pada sesi dailog itu, Pengerusi PPPM Sarawak, Dato’ Yeo Kok Vui dan Penolong Pengarah Jabatan Bekalan Air Labuan, Christoper Lim.




Jika keadaan ini masih berlarutan, atau Labuan masih dilanda musim kemarau empat bulan yang mendatang, ini bermakna Labuan tidak ada bekalan air bersih sementara menunggu projek paip saluran air bersih dari Beaufort siap.

Tiada ulasan: