18 November 2009

Perang Media - Pemuda UMNO Labuan Kritikal?

Hari ini merupakan hari kedua berturut-turut kenyataan media dari meja Ketua Penerangan Pemuda UMNO Labuan, Ismaildin Yaacob terpampang didada akhbar.

Keterangan media tersebut antaranya menyatakan Pemuda UMNO Labuan sebulat suara menyokong tindakan Ketua Pemuda, Mohd Rafi mengutarakan usul supaya Datuk Basiran dipindahkan dari Labuan. Keterangan itu juga menyebut agar Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap Naib Ketua Pemuda, Hj Abdullah Amir, dan meminta beliau menghantar surat tunjuk sebab dalam masa seminggu.

Perkara ini adalah perkara dalaman sayap Pemuda parti, dimana sepatutnya diselesaikan secara dalaman. Usaha untuk membuat keterangan media sebenarnya tidak perlu, kerana mereka boleh berhubung sesama sendiri dengan mudah. Labuan adalah pulau kecil. Jika perkara dalaman pun 'terpaksa disampaikan' melalui media, ini akan memperlihatkan seolah-olah Pemuda UMNO Labuan sudah berada diambang perpecahan tahap kritikal. Usaha untuk mengheboh-hebohkan perkara ini melalui media dikhuatiri akan mengundang andaian bahawa Ketua Pemuda UMNO Labuan, Mohd Rafi tidak mampu menjaga Pemuda UMNO Labuan, sehingga menjadikan media sebagai perantara untuk berhubung sesama sendiri.

Naib Ketua Pemuda UMNO Labuan, Hj Abdullah Amir sebelum ini menyokong usul agar Datuk Basiran dipindah keluar dari Labuan kerana beliau difahamkan oleh ketuanya, Mohd Rafi bahawa usul ini mendapat sokongan dari UMNO Bahagian dan Jawatankuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung. Beliau bagaimanapun menarik balik sokongan beliau apabila mendapat tahu bahawa usul tersebut tidak mendapat 'restu' dari UMNO Bahagian dan ketua-ketua kampung, disamping mengetahui kisah sebenar setelah berjumpa sendiri dengan Datuk Basiran bersama 8 ahli Pemuda UMNO yang lain.

Tiada ulasan: