25 Oktober 2009

Pemilihan TenPin Bowling Peringkat WP Labuan

KENYATAAN MEDIA

PEMILIHAN TENPIN BOWLING PERINGKAT NEGERI W.P LABUAN AKAN DIJALANKAN PADA 5 NOVEMBER 2009 DI VENUE BOWLING, UJANA KEWANGAN BAGI MEMILIH WAKIL KONTINJEN W.P LABUAN KE PERINGKAT KEBANGSAAN. SEBANYAK 5 BUAH SEKOLAH AKAN MENGAMBIL BAHAGIAN IAITU PPKI SK PEKAN SATU, PPKI SK PANTAI, PPKI SK RANCHA-RANCHA, PPKI SMK MUTIARA DAN PPKI SMK LAJAU. VIP YANG AKAN MERASMIKAN PEMILIHAN INI IALAH TUAN PENGARAH JABATAN PELAJARAN W.P LABUAN. SELURUH WARGA LABUAN DIJEMPUT MENYAKSIKAN PEMILIHAN BERSEJARAH INI.


Mesej ini datangnya dari Program Pembelajaran Khas Integrasi, SK Pekan Satu.

Bajet '10 Atau RMK 10?

Setelah menjadi pemerhati selama hampir dua jam, mendengar pembentangan Belanjawan 2010 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak, seolah-olah tiada apa yang dikhususkan untuk Pulau Labuan pada tahun depan.

Bajet 2010 juga menggunakan peruntukan yang lebih kecil berbanding Bajet 2009 yang dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Antara perkara yang tidak dijangka pada pembentangan Bajet sulung Dato' Seri Najib ini antaranya pengurangan peruntukan untuk sistem pertahanan negara, pertukaran dan pertambahan tugas dalam Kementerian Wilayah Persekutuan (yang sepatutnya dibahaskan diperingkat Kabinet, bukan Bajet) dan ketiadaan bonus (digantikan dengan bayaran khas RM500).

LabuanKini berharap kita tidak akan ketinggalan lagi dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). Antara yang dinanti-nanti oleh warga Labuan termasuklah saluran air bersih ke Labuan, penambahbaikan lingkaran jalanraya dan jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah.

24 Oktober 2009

Lawatan Angkasawan Negara Ke Labuan

Khamis lepas angkasawan negara, Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berada di Labuan. Sekitar lawatan beliau, beliau sempat melawat empat buah sekolah menengah di Labuan, SMK Labuan, SM Sains Labuan, SMK Pantai dan SMK Lajau.

Beliau sempat beramah mesra dengan warga didik Labuan, petugas-petugas dari Jabatan Pendidikan dan pelajar-pelajar sekolah yang bernasib baik.

Ini merupakan pendekatan terbaik untuk warga Labuan yang berkesempatan dan bernasib baik untuk mengenali angkasawan negara yang pertama dengan lebih dekat lagi. Cuma LabuanKini agak terkilan sedikit bila mendapat informasi yang ada beberapa perkara yang beliau ucapkan tidak begitu memberangsangkan, atau tidak sepatutnya diucapkan. Antaranya seperti "orang Sabah pendek-pendek" dan "orang pendek tidak layak menjadi angkasawan".

Bagi LabuanKini, ini sepatutnya tidak perlu diucapkan kepada pelajar-pelajar kerana ini sedikit sebanyak membantutkan minat pelajar-pelajar yang kurang tinggi, dan bagi pendapat LabuanKini, mereka masih muda dan masih lagi dalam proses tumbesaran fizikal.

Walaubagaimanapun, Labuan masih boleh dianggap bertuah kerana menjadi antara destinasi lawatan Angkasawan Negara, Dato' Dr. Muszaphar Shukor.

19 Oktober 2009

Perkhidmatan Feri Labuan-Menumbok Kurang Memuaskan?

LabuanKini sempat membuat tinjauan 3 hari yang lepas mengenai sistem pengangkutan feri ro-ro Labuan-Menumbok.

Feri Wawasan Perdana milik Labuan Ferry masih lagi bergerak menggunakan satu kipas, walaupun hal ini sudah berlarutan lebih enam bulan. Feri tersebut juga terpaksa ditunda oleh satu lagi kapal kerana ada khabar yang mengatakan Jabatan Laut dan Marin tidak membenarkan feri tersebut beroperasi dengan hanya menggunakan satu kipas, melainkan diiringi kapal lain.

Kelewatan tiba dan kelewatan berlepas juga dikatakan kerap berlaku. Pelbagai alasan menjadi sebab berlakunya kelewatan ini antaranya masalah cuaca dan kerosakan enjin.

Ramai yang berpendapat sudah tiba masanya kita memiliki jambatan yang menghubungkan Labuan ke tanah besar, Sabah. Jambatan tersebut sudah tentu dapat menarik ramai pengunjung ke Labuan, disamping dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi.

Jika jambatan dianggap lambat untuk dilaksanakan, sekurang-kurangnya kita perlu ada satu lagi operator feri Labuan-Menumbok. Jika ada pesaingan, baru ada usaha untuk memperbaiki servis masing-masing.

16 Oktober 2009

Ruangan Komen / Ulasan Diperhalusi

Pihak LabuanKini terpaksa memperketatkan ruang komen atau ulasan dilaman blog ini. Ini adalah bagi memastikan setiap pengunjung yang berminat untuk meninggalkan ulasan disetiap artikel dalam Labuan Kini lebih bertanggungjawab.

Ini juga untuk mengelakkan penyalahgunaan ruangan ulasan seperti menabur fitnah, membuat iklan, spam, ulasan yang terkeluar dari topik dalam artikel dan sebagainya.

Perkara yang sama telah dibuat oleh rakan blog LabuanKini, Wilayah Kini dan ianya menampakkan kesan yang positif.

Sebarang cadangan atau komen mengenai laman blog Labuan Kini secara am, boleh menghantar secara terus ke emel labuankini@gmail.com

13 Oktober 2009

Perhimpunan Agung UMNO - Bahang Terasa di Labuan

UMNO Malaysia memulakan Persidangan Tahunannya hari ini. Sejak pagi tadi kelihatan beberapa AJK UMNO Bahagian, Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO suda berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang ke-60 ini.

Antara bualan kedai kopi mengenai pelepasan mereka kali ini termasuklah UMNO Bahagian Labuan kali ini diwakili oleh Pemangku Ketua Bahagian UMNO, selepas Ketua Bahagian, Dato Suhaili digantung jawatannya April lepas.

Persidangan kali ini dijangka akan membincangkan mengenai pindaan perlembagaan, pengukuhan parti, merakyatkan parti disamping membincangkan mengenai kemenangan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad dakam pilihanraya kecil Bagan Pinang baru-baru ini.

Kemasukan Pelancong Ke Labuan Meningkat 8.4%

Mengikut laporan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Pelancongan Labuan (MTPL) dalam bukunya, Labuan Tourism Guide Book, kemasukan pelancong ke Labuan tahun lepas merekodkan peningkatan sebanyak 8.4%. Berikut adalah statistik yang dikeluarkan;

Statistik Kemasukan Pelancong ke Labuan

2008 - 733 053 Orang
2007 - 718 600 Orang
2006 - 625 213 Orang
2005 - 702 351 Orang
2004 - 641 899 Orang
2003 - 614 195 Orang

Pecahan Pelancong Asing ke Labuan

20.4% - Brunei
10.4% - Indonesia
10.1% - Vietnam
9% - Filipina
4.7% - India
4.3% - Australia
3.8% - Amerika Syarikat
3.8% - Britain
3.3% - Perancis

Sebelum ini Ahli Parlimen Labuan ada menyuarakan bahawa Labuan perlukan lebih peruntukan untuk menjadikan Labuan sebagai kawasan pelancongan yang kompetitif.

06 Oktober 2009

Kerajaan lulus RM50 juta bina Sekolah Antarabangsa Labuan

Petikan dari New Sabah TImes, 4 Oktober 2009

LABUAN: Kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) milik Lembaga Perkhidmatan Kewangan Pesisir Antarabangsa Labuan (Lofsa) di tanah seluas 22 ekar di Tanjung Aru, dekat sini.

Ketua Pengarah Lofsa, Dato’ Azizan Abdul Rahman, berkata projek yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu sudahpun bermula dan kerja-kerja pembinaannya dikawal selia sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, projek yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2011 turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, antaranya bilik asrama dan padang permainan.

“Pembinaan sekolah baru itu adalah sebagai usaha meningkatkan mutu pendidikan disamping memberikan kemudahan yang lebih baik kepada kakitangan Lofsa dan pelabur luar negara yang berkhidmat dan berurus niaga di sini” katanya kepada media sempena Majlis Rumah Terbuka Lofsa yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, dekat sini, kelmarin.

Kra-kira 2,000 tetamu yang terdiri daripada pelanggan utama Lofsa, pemimpin masyarakat serta penduduk tempatan mengunjungi rumah terbuka tersebut yang diwarnai dengan pelbagai juadah santapan Hari Raya.

Selain daripada beramah mesra Pengurusan Lofsa tidak lupa meraikan golongan orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak yatim untuk menerima duit raya yang disampaikan bersama oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal dan Timbalan Gobenor Bank Negara, Datuk Zamani.

Hadir sama di majli itu, Timbalan Ketua Pengarah Lofsa Daneil Mah, Pengurus Besar Hotel Grand Dorsett, Hubert Wilfred, mantan Ahli Parlimen Labuan, Dato’ Haji Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Asean Supply Base, Dato’ Harris Haji Anuar Tan.

HOG Brunei, Sabah Lawat Labuan

Harley Owner Group (HOG) Brunei Chapter dan beberapa ahli HOG Sabah mengunjungi Labuan hujung minggu yang lepas. Mereka yang tiba di Labuan malam Jumaat lepas disambut oleh Presiden Kelab Black Eagle Riders (Black Eagles), Dato' Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Presiden, Dato' Harris Annuar Tan dan ahli-ahli Black Eagle Riders.

Kehadiran mereka di Labuan adalah bersempena Sambutan Aidil Fitri, dan juga merupakan lawatan balas ke Labuan. Antara aktiviti mereka termasuklah beraya ke rumah Presiden Black Eagles, Timbalan Presiden, rumah Ketua Kampung Patau-Patau 1, Rumah Ketua Wanita UMNO Labuan, dan beberapa rumah ahli Black Eagles.

'Riders' dari Sabah agak lewat sikit tiba di Labuan, iaitu pada petang Sabtu.

Rumah Terbuka Ahli Parlimen Labuan Meriah

Majlis Rumah Terbuka sempena Aidil Fitri Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Yussof Mahal dilihat begitu meriah malam minggu yang lepas. Majlis yang bermula pada jam 8 malam itu tidak putus-putus dihadiri tetamu. Cuaca yang baik, tidak menepati ramalan awal juga antara punca orang ramai berpusu-pusu menghadiri majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Labuan itu.

Antara yang turut kelihatan hadir termasuklah Ketua Pemuda UMNO Labuan, Ketua Wanita UMNO Labuan, beberapa Ketua Cawangan UMNO, Ketua-ketua Parti Komponen BN, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta beberapa ketua kampung.