07 Februari 2009

PATI - Labuan "Diserbu"

Polis buru pendatang asing

07/02/2009 2:41pm

LABUAN 7 Feb. — Polis terus memperhebatkan usaha memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di pulau ini dengan 304 disyaki rakyat asing diperiksa awal pagi ini.

Ketua Polis Labuan, Supritendan Saiman Kasran yang mengetuai 42 anggota polis menyerbu Kampung Muslim sebuah perkampungan yang menjadi tumpuan rakyat asing.

Operasi dua jam bermula pukul 5 pagi membabitkan pelbagai jabatan seperti jenayah, narkotik, trafik, komersial dan cawangan khas itu menyaksikan tiga rakyat asing ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Kami akan memperhebat operasi dari semasa ke semasa dan serbuan dari rumah ke rumah,” katanya.

Sementara itu, selepas kejayaan mematahkan sindiket haram terbabit dalam kegiatan mengambil wanita rakyat asing sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) pada 2 Februari, polis juga dapat melumpuhkan sindiket perjudian di kawasan terbuka selepas menangkap tiga lelaki dan merampas enam unit komputer, kelmarin.

Saiman berkata, kegiatan perjudian itu telah beroperasi sejak dua bulan lepas di sebuah premis di Jalan Jati.

Mereka ditahan reman mengikut Seksyen 4 B (a) 1953 Akta Perjudian di kawasan terbuka.

Dalam kes lain, polis juga menangkap seorang lelaki rakyat tempatan yang terbabit dalam kegiatan loteri haram.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 4 A (a) 1963 akta yang sama.

Pada 4 Februari, polis juga menangkap dua rakyat Filipina kerana mengedar dadah. - Bernama


Petikan dari Utusan Malaysia Online, 7 November

Tiada ulasan: