24 November 2009

Pertanian Skala Besar Di Labuan?

Petikan dari Utusan Malaysia Online, 22 November 2009

LABUAN: Labuan, yang sangat bergantung kepada barangan pertanian yang diimport dari tanah besar Sabah dan negeri-negeri lain, merancang untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar di pulau itu bagi aktiviti pertanian.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri, Sahbudin Jair berkata, pada masa ini pulau itu mengimport kira-kira 60,000 tan sayur-sayuran dan 48 tan daging sedar sebulan dari Sabah dan negeri-negeri lain.

Sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pulau itu untuk keperluan barangan makanannya, satu pelan tindakan sedang digubal untuk dilaksanakan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata rancangan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar, berkeluasan kira-kira 400 hektar di pulau itu sebagai kawasan pertanian dipersetujui kira-kira 400 peladang dan penternak pada satu taklimat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) minggu lepas.

Sahbudin berkata, pertubuhan itu juga merancang untuk melatih para lepasan sekolah dan siswazah dalam beberapa bidang kemahiran pertanian, terutamanya penternakan dan penanaman.

Beliau berkata, tindakan juga perlu diambil oleh beberapa pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan zon kawasan di pulau itu sebagai zon pertanian.

Pada masa ini, terdapat peladang yang mengusahakan ladang sayur-sayuran tetapi bukan dalam skala besar-besaran, tetapi “hanya tanaman di kawasan rumah masing-masing”.

2 ulasan:

Soputan berkata...

Langkah seperti ini amatlah dialu -alukan. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan 'cost of living' penduduk labuan. Tetapi saya rasa beberapa aspek perlu diambil kira sebelum melaksanakan pertanian skala besar ini. Sistem pertanian skala besar seperti ini memerlukankan penggunaan air yang banyak dan pada masa yang sama kita juga menghadapi masalah air...

SAHAR MISRON berkata...

Kami warga pendidikan di Labuan menyokong usaha murni ini, mungkin melalui Koperasi Pelajaran W.P Labuan Berhad boleh kami terlibat sama?