27 Oktober 2008

Bencana Alam 2

Dipetik dari New Sabah Times, 27 Oktober


Batu Manikar kini dilanda banjir lumpur

27th October, 2008

LABUAN: Hujan turun yang melanda pulau ini sejak Jumaat lalu menyebabkan Kampung Batu Manikar terjejas teruk dilanda banjir lumpur, manakala sebatang jalan raya di Jalan Bukit Kubong Kampung Lubok Temiang pula tidak dapat dilalui kerana tertimbus tanah runtuh, pagi kelmarin.

Seorang penduduk kampung Batu Manikar, Haji Ismail Abdul Rahman, berkata hujan lebat yang turun tanpa henti malam kelmarin adalah yang paling buruk apabila sebahagian besar rumah penduduk kampung digenangi banjir lumpur.

Katanya, hujan lebat yang bermula pada Jumaat itu mulai dirasai pagi kelmarin, apabila air hujan yang turun dari kawasan pemotongan bukit berhampiran rumah penduduk tidak dapat ditampung oleh parit yang sedia ada sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur.

Menurutnya, kira-kira 10 buah rumah membabitkan kawasan simpang 19 hingga simpang 22 digenangi banjir lumpur antara paras buku lali hingga ke paras lutut.

“Apa yang saya kesalkan dalam kejadian ini ialah sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat berfungsi kerana tersumbat dan dipenuhi oleh tanah lumpur yang dibawa arus dari kawasan bukit yang digondol.

“Sebuah bukit berhampiran kawasan ini telah digondol oleh sebuah syarikat untuk menimbus tapak pembesaran lapangan terbang baru-baru ini, namun apa yang mengecewakan kami, pemotongan bukit itu tidak dibuat secara terancang, menyebabkan kami teraniaya terkena limpahan tanah lumpur setiap kali hujan lebat turun,” katanya kepada New Sabah Times di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Haji Ismail bersama penduduk yang terlibat meminta kepada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) supaya dapat membesarkan dan menyegerakan pembesaran sistem perparitan yang lebih sempurna.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu Manikar, Ismail Pg. Haji Mohd. Yassin yang turut ditemui di tempat kejadian berkata, beliau akan menyuarakan kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal supaya campur tangan untuk menyelesaikan ‘isu perparitan’ yang sentiasa menghantui penduduk kampung dapat disegerakan.

“Kita telah banyak kali menyuarakan kepada jabatan yang berkenaan supaya isu perparitan yang terdapat di kampung Batu Manikar ini di ambil perhatian yang sewajarnya agar sistem perparitan yang ada di kampung ini dapat diperbesarkan bagi mengelak banjir seperti yang berlaku pagi ini” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini, turut memberi bantuan untuk mengeluarkan air yang memasuki ru-mah mereka menggunakan pam termasuk membantu membersihkan parit yang tersumbat.

Sementara itu, sebatang jalan raya di Bukit Kubong Kampung Lubok Temiang tidak dapat dilalui oleh kenderaan awam kerana tertimbus tanah runtuh dari sebuah lereng bukit berhampiran jalan tersebut, awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun jalan yang menghubungkan kampung Lubuk Temiang, Tanjung Kubong dan Batu Manikar itu boleh digunakan semula kira-kira jam 1 petang selepas dibersihkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Labuan yang turut dipanggil untuk memberi bantuan, selain itu mereka juga terlibat dengan pemotongan beberapa pokok kayu yang tumbang di sekitar jalan raya di pulau ini.

Sementara itu, Radio Labuan FM kelmarin turut melaporkan kejadian hujan lebat yang tidak menentu ini dijangka akan berterusan sehingga petang hari ini (Isnin).

Tiada ulasan: