16 Oktober 2008

Perlu Direnungkan Sebelum Mesyuarat Bahagian

Dipetik dari Berita Harian, ruangan rencana. renung-renungkanlah.

Analisis: Umno perlu kukuh kembalikan Wilayah Persekutuan kepada BN


PADA pilihan raya umum lalu, Wilayah Persekutuan seperti juga Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor berjaya ditawan pembangkang. Yang membezakan Wilayah Persekutuan, ia tiada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti empat negeri itu yang kini di perintah Pakatan Rakyat. 

Barisan Nasional (BN) hanya menang tiga kerusi Parlimen menerusi Datuk Seri Zulhasnan Rafique (gambar) (Setiawangsa); Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan Datuk Yusuf Mahal (Labuan). 

Umno gagal mempertahankan dua kerusi iaitu di Lembah Pantai dan Titiwangsa daripada lima kerusi yang ditandingi. Namun, selepas pilihan raya, Umno Wilayah Persekutuan mula bangkit dengan semangat baru melalui beberapa pendekatan.

Sejak itu, Zulhasnan memulakan visi dan dimensi baru di Wilayah Persekutuan bagi memperkasakan semula parti selepas BN gagal mempertahankan 10 kerusi parlimen. 

Keseorangan di kawasan Kuala Lumpur dengan baki 10 lagi Ahli Parlimen pembangkang, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berdepan dengan cabaran dan rintangan bertali arus daripada barisan pasukan pembangkang. 

Kini, selepas tujuh bulan Umno Wilayah Persekutuan mula diperkukuh dengan memperkasakan semula semua 13 bahagian menerusi semangat baru menggunakan pendekatan 3B - Bersama, Bersatu, Berjaya - yang disifatkan kebangkitan semula Umno Wilayah Persekutuan.

Zulhasnan dilihat sebagai pemimpin yang kurang 'berpolitiking' tetapi kuat bekerja. Pelantikan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 2006 memberikan imej dan identiti baru menerusi wawasan Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera. 

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Suleiman Mohamad pernah berkata, Zulhasnan adalah salah seorang Pengerusi Perhubungan terbaik yang pernah dimiliki Umno Wilayah Persekutuan. 

Kini, ketika musim pemilihan, ramai pihak mengintai peluang mendapatkan pencalonan dari 13 bahagian Umno dan bagi sesetengah pihak, Wilayah Persekutuan dilihat sebagai penyelamat kepada beberapa calon untuk mendapatkan pencalonan dan undi. 

Enam ketua bahagian menang tanpa bertanding, diketuai Zulhasnan Rafique di Setiawangsa; Senator Datuk Ridhuan Hamid (Kepong), Datuk Seri Azim Zabidi (Bukit Bintang), Suleiman (Titiwangsa), Tengku Adnan (Putrajaya) dan Senator Datuk Syed Ali Al Habshee (Cheras).

Sebanyak tujuh ketua bahagian termasuk dua pemangku ketua bahagian dan seorang bekas ketua mempertahankan jawatan masing-masing. 

Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Kamaruddin Ambok bakal berdepan Bendahari bahagianya, Hadi Mad Zam dalam pertembungan satu lawan satu bagi jawatan ketua bahagian Segambut yang dijangka sengit. 

Kamaruddin dikatakan akan mempertahankan jawatan walaupun ramai melihatnya satu saingan yang sihat melalui proses demokrasi. Umno Segambut juga dikatakan sedang melalui proses pemantapan semula selepas kekalahan calon BN dari Gerakan di Parlimen Segambut. 

Kamaruddin sebagai Ahli Dewan Negara diharapkan dapat membawa permasalahan masyarakat Segambut ke Dewan negara selepas BN kehilangan kerusi Parlimen kepada DAP. 

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dicabar Ahli Parlimen Labuan yang baru Datuk Yusuf Mahal yang juga timbalan ketua bahagian Labuan. 

Pengorbanan Suhaili melepaskan kerusi Parlimen Labuan kepada timbalannya itu pada pilihan raya lalu kerana masalah kesihatan isterinya, kini bagaikan tidak menerima balasan setimpal daripada Yusuf. Ramai berpandangan Yusuf yang masih sebagai Ahli Parlimen seharusnya memberi tumpuan kepada tanggungjawab dan tugas sebagai wakil rakyat. 

"Sesiapa saja berhak menawarkan diri bertanding dan sedia menghadapi risiko selepas bertanding. Umno sentiasa mengamalkan proses demokrasi dan saya harap pemilihan di Labuan yang buat pertama kali ini akan memperkasakan lagi bahagian," kata Suhaili yang kini Pengerusi Perbadanan Labuan. 


Di Wangsa Maju, pemangku ketua bahagian, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin dicabar naib ketua, Datuk Mohamad Shafie Abdullah yang juga Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Razak. 

Bekas ketua bahagian Wangsa Maju dan bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Abdul Aziz yang dibebaskan daripada penggantungan kes politik wang, menawarkan diri bertanding timbalan ketua bahagian. Penampilan semula beliau ke kancah politik, khususnya Umno selepas lebih tiga tahun, merancakkan suasana pemilihan di Wangsa Maju. 

Lembah Pantai pula menyaksikan penampilan semula bekas ketua bahagian, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang bersaing bersama pemangku ketua, Yusri Ahmad dan seorang lagi ahli Lembah Pantai, Ahmad Zahran Ibrahim. 

Persaingan tiga penjuru di Lembah Pantai dikatakan bakal menyaksikan satu era baru kepada Umno bahagian itu dalam usahanya merampas kembali Lembah Pantai daripada pembangkang. 

Di Bandar Tun Razak pula boleh diklasifikasikan sebagai pertembungan tradisi antara Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mokthar Samad dan bekas ketua bahagian, Datuk Amil Salleh yang dibebaskan daripada penggantungan politik wang. 

Ketika Amil menjalani penggantungan, Datuk Rahim Baba selaku timbalan ketua bahagian memangku jawatan, namun beliau hanya mempertahankan jawatan. 

Di Batu menyaksikan saingan sengit dan menjadi perhatian apabila ketuanya, Datuk Yusuff Hamid dicabar Ahli Jawatankuasa bahagian, Yahya Mat Ghani atau lebih dikenali sebagai 'Abas Batu'. 

Pertembungan antara Abas dan Yusuff dijangka memberikan imej yang baru kepada Umno Batu yang amat popular ketika era Allahyarham Datuk Azman Attar dan Datuk Azrat Gull. 

Namun, selain memilih pemimpin pusat, ahli Umno Wilayah Persekutuan perlu memastikan kepemimpinan bahagian mesti mantap bukan saja untuk kepentingan parti, malah lebih penting merampas semula Wilayah Persekutuan daripada pembangkang. 

Kepemimpinan peringkat bahagian bukan saja perlu memulihkan keyakinan ahli kepada Umno, malah memastikan pengundi bandar yang dulu memihak kepada Pakatan Rakyat kembali menyokong BN pada pilihan raya akan datang. 

Bagi mencapai hasrat itu, perpaduan dan kesediaan serta kesetiaan kepada pucuk pimpinan Wilayah Persekutuan amat diperlukan. Jika tidak, Wilayah Persekutuan akan kekal di bawah 'pemerintahan' Pakatan Rakyat.

3 ulasan:

Al-Rashid Zulkefli berkata...

Pengorbanan Suhaili melepaskan kerusi Parlimen Labuan kepada timbalannya itu pada pilihan raya lalu kerana masalah kesihatan isterinya, kini bagaikan tidak menerima balasan setimpal daripada Yusuf. Ramai berpandangan Yusuf yang masih sebagai Ahli Parlimen seharusnya memberi tumpuan kepada tanggungjawab dan tugas sebagai wakil rakyat.

melihat kpd statement ini,pengorbanan itu tidak harus dilihat sebagai satu isu untuk mendapatkan kerusi ketua bahagian.
saya berpendapat, ahli2 UMNO yang bertanding harus menerima hakikat yang demokrasi itu perlu disuburkan melalui persaingan seperti ini(mandat melalui pemilihan oleh akar umbi)
harus di ingat,yang UMNO masa kini perlu sokongan baik dari ahli mahupun ketua untuk memperkukuhkannya kembali. jika tidak, kita akan menjadi lukut yang ditepi gantang!!!
untuk itu,harus disedari penekanan dan pemahaman keatas pendekatan reform itu perlu demi merapatkan kembali 'saf-saf' UMNO.

Tanpa Nama berkata...

salam meet uncle shah...
tertarik sekali berkenaan pandangan abda dalam menghuraikan satu-satu fakta.biarpun anda gagal,mengkaji sejarah melalui fakta;saya yakin ada sesuatu yang anda miliki.
kerana pada hari ini,kemampuan anak2 muda sepeti anda amat memalukan!!!!
tahniah!!!harap anda teruskan dgn mengkaji,mencatat sejarah!!!!

mujako berkata...

Labuankini tidak pernah atau bercadang untuk menyekat mana - mana pihak untuk membuat komen, sehinggakan 'anonymous comments' juga dibenarkan. ini dinamakan demokrasi dan kebebasan bersuara. Tetapi kalau mempergunakan 2 - 3 nama untuk menyokong, atau menutup kesilapan komen sendiri, ini dianggap menyalahgunakan kebebasan yang diberi. Bukan niat untuk mengaibkan sesiapa, cuba diharap para pembaca bersikap matang dang bertanggungjawab atas komen - komen yang diberi. Happy blogging untuk semua.