27 Oktober 2008

Universiti Labuan

Dipetik dari Utusan Malaysia, 27 Oktober.


Kementerian sedia timbang cadangan Universiti Labuan

LABUAN 26 Okt. - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menimbangkan cadangan menjadikan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) sebagai universiti penuh.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, hasrat menjadikan kampus cawangan tersebut sebagai Universiti Labuan boleh direalisasikan jika UMS-KAL dapat memenuhi keperluan atau syarat penubuhan sebuah universiti awam.

"Saya percaya akan sampai masanya satu ketika nanti, UMS-KAL akan dapat mencapai status sebuah universiti yang mempunyai identiti sendiri.

"Ini sejajar dengan pembangunan Labuan yang begitu aktif dalam kegiatan perdagangan antarabangsa dan industri minyak serta gas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Simposium Kemahasiswaan III peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia anjuran UMS-KAL di Manikar Beach Resort, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Amran Ahmed dan Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) UMS-KAL, Mohd. Azri Ibrahim.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusuf Mahal yang berharap UMS-KAL dapat dijadikan sebagai sebuah universiti penuh di pulau itu.

Idris berkata, cadangan tersebut adalah satu langkah proaktif dan memberi ruang kepada kementerian untuk mengkaji dan menganalisis keperluannya.

"Cadangan Ahli Parlimen itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempunyai 60 peratus daripada penduduk negara ini memiliki kelulusan diploma sekali gus mampu mengeluarkan graduan yang berkualiti pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, setiap universiti yang hendak diwujudkan perlu melalui proses yang panjang termasuk mengkaji pandangan pelbagai pihak serta keperluan masyarakat dan negara.

"Ia penting bagi menjadikan sesebuah universiti itu mampu mengeluarkan graduan yang berkualiti selain menjadikannya sebuah universiti yang unggul di Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: