21 Oktober 2008

Peringatan Dari YB

Dipetik dari Utusan Borneo, 21 Oktober 2008.

Jangan cemari keharmonian yang dikecapi selama ini

LABUAN : Isu perpaduan merupakan antara agenda utama nasional yang telah kita perjuangkan sejak dahulu lagi.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haju Yussof Haji Mahal berkata program seperti rumah terbuka dan majlis ramah mesra sememangnya mampu mewujudkan integrasi dalam kalangan pelajar.
Katanya, amalan rumah terbuka berfungsi sebagai sumber pendidikan tidak formal yang amat signifikan bagi pelajar kerana pengunjung boleh belajarmengenai kepercayaan dan amalan-amalan murni kaum lain yang berlainan agama.
Beliau berkata bukan itu sahaja, ia akan membuatkan kita faham dengan lebih jelas mengenai budaya sesuatu kaum di negara ini.
"Sebagai ahli masyarakat yang hidup dalam negara yang memiliki pelbagai etnik, murid-murid seharusnya mengamalkan sikap prihatin terhadap kaum-kaum yang berbeza agama, bangsa, bahasa dan budaya,"katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutupan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Pelajaran Labuan di Pusat Kokurikulum, Kampung Ganggarak, kelmarin.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Labuan, Mohamad Zaki Mohd Yusuf, timbalannya, Omar Baki Matussin, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK), Ismail Abdullah, Pengetua dan Guru Besar.
Hadir sama Ketua Unit Hal Ehwal Murid, Salamat Daliman dan Penolong Pengarah Unit Disiplin, Matnor Haji Mohd Daud.
Pada majlis itu, Yussof mengumumkan peruntukan sebanyak RM26,000 untuk diagihkan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)yang masing-masing akan menerima RM1,000.
Beliau turut mengumumkan untuk menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000 kepada kumpulan tarian Sekolah Kebangsaan (SK) Layang-Layangan, yang membuat persembahan pada majlis tersebut.
Yussof berkata dalam usaha untuk mengejar impian menjadi negara yang kuat dan utuh, kita mesti mempunyai hubungan  dan jalinan persaudaraan yang kukuh diantara satu kaum dengan kaum yang lain.
Katanya, rakyat Malaysia seharusnya mahu melupakan peristiwa yang berlaku pada 1511 dan 1969 yang mampu merosakkan jalan yang sedang dibina untuk meraih kegemilangan tamadun bangsa Malaysia.
Beliau berkata rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri merupakan bukti keprihatinan kerajaan dan keistimewaan negara kerana semua kaum dapat merayakannya.
"Kita perlu mengekalkan semangat muhibah dan permuafakatan kerana nilai-nilai inilah yang menjadi tunjang kekuatan integrasi nasional di negara ini," katanya.
Yussof menyeru semua kaum supaya bersama-sama menumpukan usaha kearah mewujudkan masyarakat pelbagai kaum yand dinamik, hidup secara aman dan harmoni.



Sama - samalah kita renungkan pesanan dari YB kita ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

harap cakap serupa bikin.. :)